Pages

Monday 24 October 2011

Tingkatan 2 Bab 8


Pada akhir pengajaran dan pembelajaran bab ini,
anda seharusnya dapat:
1.   Menghuraikan semangat kebangsaan di negara kita.
2.   Membincangkan peranan pendidikan surat khabar, penulisan kreatif dan perjuangan badan serta kesatuan dalam membangkitkan semangat kebangsaan.
3.   Membezakan perjuangan Kesatuan Melayu Singapura dengan Kesatuan Melayu Muda.
4.   Menyedari tentang perlunya pemupukan semangat kewarnegaraan dan cintakan tanah air ke arah pembinaan dan  kemajuan bangsa dan negara.

Ringkasan


Seperti gerakan kebangsaan di Asia Tenggara, gerakan kebangsaan di Malaysia adalah penentangan terhadap penjajahan. Berbeza dengan negara-negara lain, gerakan kebangsaan di Malaysia tidak melibatkan pertumpahan darah. Gerakan kebangsaan negara luar telah mempengaruhi semangat kebangsaan di negara kita. Ada beberapa faktor yang membangkitkan perasaan-perasaan di kalangan orang Melayu yang terpelajar. Pertama ialah pengaruh daripada gerakan penuntut di Asia Barat, dan dari Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. Kedua ialah kegiatan parti-parti politik di bawah pimpinan orang Melayu berpendidikan Inggeris. Ketiga ialah sumbangan orang perseorangan yang membantu gerakan kebangsaan.
Pemimpin-pemimpin gerakan kebangsaan adalah seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Hj. Muhammad, Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi, dan lain-lain kemajuan pendidikan memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat kebangsaan di negara ini. Surat khabar dan majalah dijadikan wadah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan tanah air. Selain itu, badan dan kesatuan juga menjadi saluran penting dalam membangkitkan semangat kebangsaan. Bagi orang Cina dan India di tanah Melayu , mereka juga telah membentuk persatuan masing-masing, yang bertujuan untuk menjaga kepentingan hak bangsa mereka.

Apakah itu Semangat Kebangsaan

Semangat Kebangsaan ialah perasaan taat setia seseorang kepada negaranya. Dengan adanya semangat Kebangsaan, seseorang akan mempunyai rasa kecintaan dan taat kepada negaranya. Di samping itu akan lahir  juga perasaan ingin melihat kemajuan, keamanan dan kemakmuran negaranya dan wujud perasaan kesediaan untuk berkorban mempertahankan negaranya jika dicerobohi.
Pada awal kurun ke-19, perubahan sosial dan ekonomi kesan daripada perluasan kuasa British mempengaruhi perkembangan semangat Kebangsaan di Tanah Melayu. Pada awal kurun ke-20, terdapat perkembangan kegiatan-kegiatan menentang kuasa penjajah di beberapa tempat di Asia. Antaranya adalah:
 
Pengaruh Turki
Gerakan Pemulihan Islam (Mesir)
Gerakan Politik Islam di Indonesia
Pengaruh dari India
Pengaruh Perang Rusia- Jepun
Pengaruh dari China
Pengaruh dari Turki,
Negeri-negeri Melayu dan Gerakan Pan Islam

Pada kurun ke-16, Turki merupakan sebuah empayar yang berkuasa di Timur Tengah.  Ia juga dikenali sebagai empayar Uthmaniah yang diasaskan oleh seorang pahlawan Islam, iaitu Usman pada tahun 1300. Empayar Turki menguasai Balkan, Yunani dan negeri-negeri di sepanjang pantai utara Afrika.
Sejak kurun ke-19, Kelantan dan Pahang telah menjalinkan hubungan dengan empayar Turki. Di Kelantan, seorang ulama terkenal, Syeikh Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Muhammad Zain berusaha menyatukan Kelantan dan Patani untuk menentang Siam dan membentuk sebuah kerajaan Islam.
Namun, rancangannya gagal disebabkan halangan oleh British. Pada awal 1890-an, terdapat pemimpin Pahang yang cuba mendapatkan bantuan empayar Turki untuk mengusir British.  Percubaan tersebut juga gagal.
Di Johor, pengaruh Turki disebarkan oleh Mehemat Kiamil Bey. Beliau merupakan seorang pejuang Gerakan Pan Islam yang berkahwin dengan seorang kerabat diraja Johor.  Usahanya juga disekat  oleh kerajaan British. Menjelang akhir kurun ke-19, kekuasaan empayar Turki mula merosot dan menyebabkan banyak negeri taklukannya melepaskan diri daripadanya.  Turki menjadi semakin lemah dan digelar sebagai  'Orang Sakit Eropah'. Ramai orang Turki percaya kemerosotan empayar ini disebabkan oleh pengabaian mereka terhadap pengajian Islam.
Pada awal kurun ke-20, muncul beberapa pemimpin golongan Turki Muda yang agresif.  Mereka ingin mengekalkan keutuhan empayar Turki.  Golongan ini memulakan Gerakan Pan Islam dengan menyebarkan fahaman Jamiah Islam untuk menentang unsur-unsur Barat yang mempengaruhi kehidupan kehidupan orang Islam. Satu gerakan yang bermula di Turki pada awal kurun ke-20. Diketuai oleh segolongan pemimpin yang muda dan agresif. Menentang pengaruh Barat yang mempengaruhi kehidupan orang Islam. Menyeru umat Islam di seluruh dunia untuk bersatu bagi menentang pengaruh Barat. Fahaman ini inginkan umat Islam di seluruh dunia bersatu padu di bawah seorang khalifah atau ketua Islam untuk menyekat kemasukan pengaruh Barat.
Sultan Turki, Sultan Abdul Hamid yang memerintah dari 1876 hingga 1909 menyokong kuat fahaman ini. Baginda diberi gelaran Khalifah. Ramai orang Islam di seluruh dunia yang percaya bahawa Islam diabaikan mulai menyokong fahaman ini.

Dahagi Singapura, 1915

Semasa Perang Dunia Pertama, Sultan Turki bersekutu dengan Jerman dan mengisytiharkan perang jihad terhadap Kuasa Berikat (Britain, Amerika Syarikat dan Perancis). Penyertaan Turki dalam Perang Dunia Pertama mempengaruhi negara-negara Islam, termasuk Tanah Melayu.
Namun, British cuba menyekat pengaruh itu dengan menapis berita-berita mengenai perkembangan Turki yang masuk ke Tanah Melayu. Pada awal 1915, dua orang pejuang Pan Islam cuba menyebarkan semangat keislaman dan anti-British di kalangan masyarakat Islam di Singapura. Mereka ialah Kassim Ismail Mansur dan Nur Alam Syah.
Mereka memberi sokongan kepada sepoi-sepoi India yang beragama Islam di Singapura untuk menentang British. Ini menyebabkan askar-askar tersebut melancarkan Dahagi Singapura pada Februari 1915. Dahagi ini dapat dipatahkan oleh British.

Kesan daripada Pengaruh Turki ke Atas  Kebangkitan Semangat Kebangsaan di Tanah Melayu

Faham Jamiah Islam memberi ilham kepada nasionalis tempatan yang ingin memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan menitikberatkan kepentingan agama Islam. Orang Melayu juga didorong oleh kejayaan-kejayaan nasionalis yang dicapai oleh Gerakan Turki Muda.
Gerakan ini dipimpin oleh Mustapha Kamal Attaturk. Gerakan ini bercita-cita memodenkan Turki seperti yang dilakukan oleh negara Barat.  Pada 1923, Turki menjadi sebuah republik dan Sistem Khilafatnya dibubarkan.

Mustapha Kamal Attaturk

Digelar Attaturk yang bermaksud Bapa Turki. Menjadi Presiden Turki Moden pada 1923. Semangat kebangsaan orang Turki mula berkembang dengan meluas di bawah pimpinannya. Bercita-cita memodenkan Turki melalui cara Barat. Pengikut-pengikutnya digelar Turki Muda. Hasil gerakannya, Turki diisytiharkan sebagai sebuah republik pada 1923. Sistem Khilafat (Sistem Kesultanan) dibubarkan pada 1924. Beliau bercita-cita untuk melahirkan negara Turki yang moden.
Pada mulanya, tindakan Gerakan Turki Muda dikecam oleh segolongan terpelajar tempatan kerana membelakangkan agama Islam dan menghapuskan Sistem Khilafatnya.  Seorang daripadanya ialah Abdul Kadir Adabi. Di samping itu, pandangan dan perbincangan mengenai gerakan itu disiarkan dalam majalah Pengasoh, al-Ikhwan dan Saudara yang diterbitkan oleh Syed Syeikh al-Hadi.
Namun demikian, kebanyakan golongan nasionalis tempatan menganggap tindakan Gerakan Turki Muda sebagai satu alat untuk memajukan diri dalam berbagai-bagai bidang. Orang Turki berjaya menguasai semula ekonomi negara mereka daripada orang Yahudi. Pengaruh Gerakan Turki Muda tersebar luas dalam bidang politik dan pertubuhan di Tanah Melayu pada 1930-an. Gerakan ini memberi ilham kepada golongan Kaum Muda untuk memperhebatkan perjuangan mereka bagi mempertahankan bangsa dan negara daripada penguasaan asing.

Kemajuan Pendidikan Membawa Perubahan

Kebanyakan daripada madrasah yang terdapat di Tanah Melayu didirikan oleh golongan reformis Islam yang berpendidikan Arab atau lebih dikenali sebagai Kaum Muda.  Antara madrasah-madrasah yang masyur ialah:  
Madrasah al-akbal al-Islamiyyah di Singapura (1907).
Madrasah al-Hadi di Melaka (1917).
Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang (1918).
Madrasah-madrasah ini digunakan sebagai pusat pemikiran dan kesusasteraan serta tempat perbincangan agama dan idea-idea Kaum Muda. Dengan ini, kegiatan dan idea-idea Kaum Muda dapat diperluaskan.

Peranan Sekolah-sekolah Cina dan Tamil

Pendidikan Cina berkembang pesat mulai kurun ke-20 akibat pengaruh pemimpin-pemimpin politik negara China, seperti Kang Yu-wei dan Sun Yat Sen. Tujuan mereka adalah untuk memupuk kesedaran politik dan perasaan kebangsaan untuk negara China di kalangan orang Cina di seberang laut.
   Pada tahun 1920, kerajaan British meluluskan Undang-undang Pelajaran untuk mengawasi perkembangan sekolah-sekolah Cina. Sekolah-sekolah Tamil ditubuhkan di ladang-ladang getah, kelapa dan sebagainya oleh pemilik-pemilik ladang. Tujuannya adalah untuk memberi pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang. Politik masyarakat  India di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua adalah tertumpu kepada pergerakan politik di India. Pada kurun ke-20 telah wujud golongan profesional dan peniaga India yang berpendidikan Inggeris.

Kegiatan Pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris

Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) ditubuhkan pada 1922 di Tanjung Malim.  MPSI merupakan pusat pengajian yang pertama di peringkat menengah untuk para pelajar yang berpendidikan Melayu. Sebagai sebuah pusat pendidikan dan sastera Melayu, MPSI melahirkan ramai nasionalis Melayu .Para pelajar MPSI tidak hanya memberikan tumpuan kepada hal-hal perguruan tetapi juga kepada soal-soal politik dan nasionalisme. Pelajar yang paling terkemuka ialah Ibrahim Haji Yaacob. Pelajar-pelajar lain termasuklah Harun Muhammad Amin (Harun Aminurashid), Abdul Hadi Haji Hassan, Mohd. Isa Mahmud, Hassan Manan dan Abdul Karim Rashid. Pelajar-pelajar MPSI memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan semangat kebangsaan di kalangan masyarakat Melayu.

Sumbangan Lepasan Berpendidikan Inggeris

Golongan orang Melayu yang berpendidikan Inggeris terbahagi kepada dua kumpulan: 
·    Kumpulan yang berkhidmat dengan kerajaan British sebagai pegawai pentadbir.
·    Kumpulan nasionalis yang mengkritik serta menentang British.

Golongan ini umumnya memperjuangkan agar orang Melayu diberi peluang dan hak-hak yang lebih luas dari segi ekonomi, pentadbiran dan pelajaran. Antara lepasan-lepasan berpendidikan Inggeris yang menyumbang kepada semangat kebangsaan di tanah air ialah:

·        Raja Chulan bin Sultan Abdullah
·        Mohamad Eunos bin Abdullah
·        Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba)
·        Ishak bin Haji Muhammad (Pak Sako)
·        Abdullah Sani bin Raja Kechil

Kegiatan Akhbar dan Majalah

Bidang penulisan mempunyai pengaruh yang besar ke atas pergerakan nasionalisme tanah air. Para nasionalis menggunakan persuratkhabaran untuk menyebarkan semangat kebangsaan.  Penulisan di akhbar dan majalah adalah untuk menyampaikan pendapat pengajaran serta kritikan terhadap isu-isu masyarakat  dan penjajahan. Penulisan kreatif yang merangkumi puisi, cerpen dan novel di ruangan akhbar kebanyakannya bertemakan nasionalisme.  Ia memainkan peranan yang penting dalam membangkitkan semangat kebangsaan.

Kegiatan Akhbar pada 1920-an dan 1930-an

Pada 1920-an hingga 1930-an, bilangan terbitan akhbar dan majalah bertambah dengan banyak kerana akhbar memberi kesedaran kepada masyarakat dan dapat membimbing masyarakat supaya rajin berusaha, tekun belajar dan giat mencari ilmu pengetahuan.  Antara akhbar yang berperanan ialah:

· Akhbar Al-Imam
· Akhbar Saudara
· Akhbar Warta Malaya
· Akhbar Majlis
· Akhbar Utusan Melayu
· Penerbitan Fajar Sarawak
· Akhbar-akhbar lain 


 Akhbar Al-Imam

Akhbar ini adalah antara akhbar terawal yang menyeru supaya masyarakat Melayu berusaha mencapai kemajuan. Ia diterbitkan di Singapura pada 23 Julai 1906.  Al-Imam diterbitkan bersama oleh Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Haji Abbas Mohd. Taha dan Syeikh Mohd. Salim Al-Kalali. Golongan ini menggelarkan diri mereka sebagai Kaum Muda. Terdapat dua prinsip perjuangan mereka, iaitu  Islam sebagai asas perjuangan dan  berjuang menerapkan pandangan dan fikiran baru terhadap Islam.
Antara seruan al-Imam kepada masyarakat Melayu ialah

1.   Mengubah sikap dan kembali kepada ajaran Islam yang berasaskan al-Quran  dan Hadis.
2.   Memahami ajaran Islam yang sebenarnya.
3.   Berusaha dengan gigih untuk mencapai kemajuan melalui pertukangan dan  bercucuk tanam.
4.   Mengambil langkah memelihara negeri daripada dijajah oleh musuh.
5.   Umat Islam harus bersatu padu untuk kebaikan semua.
6.   Mengkaji sejarah, khususnya sejarah perkembangan agama Islam dan mengambil iktibar daripadanya.
  1. engkaji sejarah negara maju supaya dapat mencontohi usaha yang mereka  lakukan untuk mencapai kemajuan.

Seruan al-Imam menimbulkan kesan yang mendalam di kalangan masyarakat Melayu. Namun begitu, penerbitannya hanya setakat 31 keluaran sahaja.  Penerbitannya ditamatkan pada 1908. Seruannya diteruskan oleh akhbar-akhbar lain, seperti Neraca (1911), Tunas Melayu (1913), al-Islam (1914), Pengasoh (1918 hingga sekarang) dan al-Ikhwan (1926-1931).

Akhbar Saudara

Akhbar Saudara diterbitkan pada September 1928 oleh Syed Syeikh al-Hadi. Akhbar ini meneruskan usaha Kaum Muda untuk memajukan umat Islam dengan melaksanakan rancangan pembaharuan.
Rencana dalam akhbar ini kebanyakannya berkaitan dengan agama.  Isu politik, ekonomi, sejarah dan pelajaran juga diterbitkan. Akhbar ini mendapat sokongan akhbar Al-Ikhwan, Idaran Zaman dan Semangat Islam. Terdapat dua akhbar yang diterbitkan oleh Kaum Tua untuk menentang akhbar Saudara iaitu Lidah Benar dan Suara Benar.
Melalui akhbar-akhbar itu, golongan ulama Kaum Tua menentang kritikan dan sindiran yang dilemparkan oleh Kaum Muda terhadap mereka.  Pada 1930-an, akhbar Saudara memperlihatkan  kesedaran politik. Akhbar ini menyeru orang Melayu supaya mempertahankan Tanah Melayu daripada bangsa asing. Penerbit akhbar Saudara mengadakan ruangan Sahabat Pena pada 29 September 1934.  Ruangan ini kemudiannya ditukarkan kepada ruangan Persaudaraan Sahabat Pena.
Tujuan ruangan ini diwujudkan adalah untuk menimbulkan minat membaca dan mengeratkan persaudaraan di kalangan masyarakat Melayu.  Pada 1935, ruangan ini mendapat sambutan yang menggalakkan.
Akibatnya, kerajaan British menubuhkan Cawangan Polis Khas untuk mengintip dan memerhatikan kegiatan ruangan ini dan tokoh-tokoh yang terlibat.

Akhbar Warta Malaya.

Akhbar Warta Malaya diterbitkan di Singapura pada 1930. Akhbar ini banyak membincangkan soal kemunduran orang Melayu.  Selain itu, ia juga membicarakan tindak-tanduk kaum pendatang ke Tanah Melayu.  Akhbar Warta Malaya sering mengkritik sikap penjajah British terutamanya tentang soal ekonomi dan politik.

Akhbar Majlis

Akhbar Majlis diterbitkan pada 1935.  Pengarangnya yang pertama ialah Abdul Rahim Kajai. Majlis dianggap sebagai akhbar kebangsaan yang pertama. Tujuan akhbar ini diterbitkan adalah untuk menyatupadukan bangsa Melayu,  mengkritik penjajah British, melindungi hak orang Melayu dan membantah hak yang sama diberikan kepada orang luar.

Akhbar Utusan Melayu

Akhbar Utusan Melayu diterbitkan pada 1939. Pengarangnya yang pertama ialah Abdul Rahim Kajai.  Akhbar ini juga memperjuangkan semangat kebangsaan dan pendidikan sebagai saluran untuk mencapai kemajuan.
Salah seorang pengarangnya yang terkenal ialah Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).  Beliau banyak menulis tentang keadaan masyarakat Melayu di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Beliau menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan memperkukuhkan perasaan kebangsaan.  Akhbar ini melambangkan perpaduan dan kegigihan masyarakat Melayu. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh orang Melayu.
Oleh itu, ia dijadikan sebagai akhbar Melayu yang utama dan sebagai alat perjuangan orang Melayu. Terdapat ruangan khas di dalam akhbar ini tentang laporan kegiatan pertubuhan politik Melayu. Ia juga menyeru supaya orang Melayu menyertai pertubuhan politik untuk memperjuangkan nasib mereka.  Penerbit Utusan Melayu juga menerbitkan akhbar Utusan Zaman dan Mastika.

Penerbitan Fajar Sarawak

Di Sarawak, akhbar yang giat memperjuangkan semangat kebangsaan ialah Fajar Sarawak.  Akhbar ini memperjuangkan beberapa perkara:

1. Menyeru orang Melayu berusaha memajukan diri.
2. Mementingkan pendidikan sebagai alat untuk kemajuan.
3. Anak-anak perempuan hendaklah diberi pelajaran yang secukupnya.
4. Mendesak kerajaan menambah perbelanjaan pendidikan untuk orang Melayu.
5. Menyeru orang Melayu supaya lebih giat dalam bidang perniagaan dan mengusahakan tanah.
6. Mendesak kerajaan supaya memperuntukkan tanah seluas tiga ekar kepada setiap orang Melayu.
7. Menyeru supaya orang Melayu jangan menjual tanah mereka.

Cogan kata akhbar Fajar Sarawak ialah  "Fajar telah menyingsing, bangunlah wahai bangsaku!".

 Akhbar lain-lain


Di kalangan masyarakat Cina, akhbar hariannya yang pertama ialah Lat Pau yang diterbitkan pada 1881. Masyarakat India pula menerbitkan Ulaga Nesan pada 1877.  Menjelang 1930-an, jumlah akhbar di kalangan kedua-dua masyarakat ini telah bertambah.
Akhbar masyarakat Cina pada 1930-an:

Nanyang Siang Pau     -            1923
Sin Chew Jit Poh      -               1929
The Modern Daily News     -    1936

Akhbar masyarakat India pada 1930-an:

Tamil Nesan     -            1923
Tamil Murasu     -          1930-an

Golongan Jawi Peranakan atau India Muslim dan Cina Peranakan juga menerbitkan akhbar dalam bahasa Melayu. Antara akhbar tersebut ialah India Muslim - Jawi Peranakan (1876 - 85), Sekolah Melayu (1888-90) dan Taman Pengetahuan (1904). Cina Peranakan menerbitkan Surat Khabar Peranakan (1891), Bintang Timur (1894-95), Kabar Ucapan Baru (1926) dan Bintang Peranakan (1930-an) . Kandungan yang terdapat dalam akhbar Cina dan India ialah laporan keadaan dan kegiatan kedua-dua masyarakat ini di Tanah Melayu. Selain itu dimasukkan juga tentang perkembangan pergerakan politik di China dan India serta iklan barangan dan perkhidmatan perniagaan.

Penulisan Kreatif

 
Perkembangan Penulisan Kreatif

Penulisan kreatif juga menjadi alat nasionalisme kerana para penulis dapat menyelitkan unsur-unsur nasionalisme dan kecaman terhadap pihak British di sebalik penulisan mereka. Kebanyakan penulisan kreatif menonjolkan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat seperti kemunduran masyarakat, kedudukan wanita dan amalan agama.
Puisi-puisi  membangkitkan perasaan bersemangat untuk maju yang dihasilkan termasuklah  puisi 'Sedarlah' karya Mahmud Ahmadi,  'Semenanjung'  dihasilkan pada tahun  1919 oleh Harun Aminurashid dan  'Seruan Kebangsaan' dihasilkan pada tahun 1937 oleh  Melati Pahang 
Terdapat juga puisi-puisi yang menyeru bangsa Melayu supaya berani dan sanggup berkorban untuk perjuangan nasionalisme.  Contohnya, puisi 'Serunai Pujangga' oleh Anum (1940). Sementara karya-karya dalam bentuk  novel-novel yang berunsurkan pengecaman terhadap penjajahan dan seruan terhadap orang Melayu untuk membebaskan tanah air adalah seperti: 'Melor Kuala Lumpur' karya  Harun Aminurashid yang bertemakan tentang kepentingan pendidikan bagi  kaum wanita. Menerusi novel ini dimasukkan juga petunjuk bagaimana orang Melayu dapat maju. 
Sementara hasil-hasil karya Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) yang terkenal dalam meniup semangat kebangsaan adalah Putera Gunung Tahan (1937) dan Anak Mat Lela Gila (1941) .
Dalam Novel Putera Gunung Tahan terdapat sindiran terhadap kaum Inggeris yang 'tamak' dan penuh dengan tipu muslihat. Sementara dalam Novel Anak Mat Lela Gila dimasukkan tema untuk memberi petunjuk kepada bangsa Melayu untuk memperjuangkan taraf hidup mereka dalam bidang ekonomi dan sosial. Cerpen, iaitu cerita pendek yang ditulis juga dimuatkan dengan seruan untuk rajin berusaha bagi mencapai kemajuan dengan tema-tema perjuangan pembebasan tanah air daripada British.
Antaranya ialah  'Cerita  Awang Putat' karya Abdul Rahim Kajai yang mengandungi tema menasihatkan bangsa Melayu supaya rajin berusaha serta bangun menentang penjajah bagi membebaskan tanah air yang tercinta.

Ishak Haji Muhammad

Ishak Haji Muhammad, lebih dikenali dengan panggilan Pak Sako. Beliau dilahirkan di Temerluh, Pahang pada tahun 1910 serta mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu dan sekolah Inggeris.
Beliau pernah menjadi wartawan dan penulis Warta Melayu dan Utusan Melayu. Beliau mengasaskan Kesatuan Melayu Muda bersama-sama Ibrahim Haji Yaakub. Antara hasil karya beliau yang terkenal ialah Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan.

Abdul Rahim Kajai

Abdul Rahim Kajai dilahirkan di Setapak , Kuala Lumpur pada tahun 1894. Beliau pernah menjadi wartawan akhbar Idaran Zaman dan penolong pengarah majalah  Saudara. Abdul Rahim menjadi pengarang Majlis yang pertama dan pernah berkhidmat dengan Warta Malaya dan Utusan Melayu. Beliau banyak menghasilkan karya yang mengkritik dasar penjajah British dan kemunduran masyarakat Melayu. Beliau digelar Bapa Kewartawanan Melayu. Sementara dalam cerpen 'Rumah Besar Tiang Sebatang'  karya Pak Sako menunjukkan sikap anti-Inggeris kerana mereka sombong dan menindas orang Melayu.
Cerita-cerita yang berasaskan perjuangan orang Melayu terhadap kuasa Birtish dan memperoleh kemerdekaan tanah air dipaparkan menerusi cerpen-cerpen karya Shamsudin Salleh seperti 'Anak Dibuat Denak'  (1938) , 'Di sini Kita Bukannya Orang Dagang' (1940) dan 'Siasat Yang Tiada Diminta ' (1941) .
Tujuan Shamsudin Salleh dan Abdul Rahim Kajai mengarang cerpen-cerpen di atas adalah untuk menanam perasaan benci terhadap penjajah.
Bahan-bahan dari luar yang diterjemahkan juga tidak kurang pentingnya dalam memaparkan isu-isu masyarakat.  Antaranya ialah 'Hikayat  Faridah Hanum' (1925) dan 'Hikayat Puteri Nurul Ain'
karya Syed Sheikh al-Hadi(1926). Manakala 'Umbi Kemajuan' (1932) karya  Za'ba
Dalam bidang penulisan kreatif, Za'ba merupakan  seorang penulis yang amat giat. Beliau menggunakan cara penulisan untuk mengkritik dan menyedarkan orang Melayu.  Beliau merupakan ketua penterjemah di Jabatan Terjemahan Melayu di MPSI pada 1924.

Syed Syeikh Ahmad al-Hadi

Syed Syeikh Ahmad al-Hadi dilahirkan di Ulu Melaka pada tahun 1862. Beliau mendapat pendidikan di Terengganu dan Riau, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar. Beliau menjadi anggota Kaum Muda dan turut terpengaruh dengan ajaran Muhammad Abduh dalam Gerakan Pemulihan Islam. Selain daripada  al-Imam, beliau juga menerbitkan majalah Al-Ikhwan pada tahun 1926 dan Saudara pada tahun 1928. Novel beliau yang terkenal ialah Hikayat Faridah Hanum.

Za'ba

Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Beliau dilahirkan pada tahun 1895. Beliau lebih memberi sumbangan menerusi kegiatan sastera. Za'ba merupakan seorang pakar bahasa dan penterjemahan. Beliau banyak menulis tentang penghidupan orang Melayu dan masalah yang mereka hadapi dalam akhbar Melayu dan Inggeris.
Beliau berkhidmat dengan kerajaan, oleh itu beliau tidak boleh melibatkan diri secara terang-terangan dalam kebangkitan semangat kebangsaan. Namun begitu beliau memberi sumbangan menerusi karangan-karangan beliau.

 Perjuangan Badan dan Kesatuan Menentang Penjajah

Kesedaran kebangsaan di kalangan orang Melayu sangat kuat semasa menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Mereka menubuhkan persatuan supaya kegiatan menentang pihak British dapat diperhebatkan. Antara persatuan yang aktif dalam membangkitkan semangat kebangsaan ini adalah:

·          Kesatuan Melayu Singapura (KMS)
·          Persatuan-persatuan peringkat negeri
·         Persatuan Sahabat Pena Malaya (PASPAM).
·         Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Kesatuan Melayu Singapura  (KMS)

Demi memastikan perjuangan mereka berhasil, pemimpin-pemimpin golongan yang sederhana ini menubuhkan sebuah persatuan politik, iaitu Kesatuan Melayu Singapura  pada tahun 1926. KMS merupakan kesatuan orang Melayu yang pertama. Ia menjadi perantaraan antara orang Melayu dengan kerajaan Negeri-negeri Selat. KMS merupakan persatuan yang mula-mula ditubuhkan untuk menjaga hak dan kedudukan politik orang Melayu. Pemimpin yang mengasaskannya ialah Mohamad Eunos Abdullah dengan bantuan Tengku Abdul Kadir dan Embok Suloh. Tujuan utama KMS adalah untuk menimbulkan kesedaran dan kecenderungan kaum Melayu untuk berpolitik, terutamanya berkaitan hak-hak dan kebebasan mereka. Di samping itu juga kesatuan ini menggalakkan orang Melayu memajukan kedudukan sosioekonomi mereka,  terutamanya dalam bidang pelajaran. Sebahagian besar ahli dan pemimpinnya merupakan orang Melayu yang berpendidikan Inggeris dan berkhidmat dengan kerajaan.
Antara kegiatan-kegiatan KMS:

1. Menyeru British memberi peluang kepada orang Melayu memajukan kehidupan mereka.
2. Memberikan biasiswa kepada anak-anak Melayu untuk melanjutkan pelajaran  hingga ke seberang laut.
3. Mendesak pemerintah Negeri-negeri Selat memperuntukkan sekeping tanah  khas bagi orang Melayu di Singapura. (Permintaan ini mendapat layanan pada 1929.  Tempat ini dinamakan Kampung Melayu. )
4. Menjamin supaya ada wakil orang Melayu dalam Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat.
5. Menubuhkan sekolah pertukangan bagi orang Melayu Singapura pada 1929.

Mulai 1937,  KMS meluaskan kegiatannya ke Melaka dan Pulau Pinang.  Kesatuan Melayu Melaka dan Kesatuan Melayu Pulau Pinang ditubuhkan pada 1937. Seterusnya, KMS bercantum dengan kedua-dua kesatuan ini untuk membentuk Kesatuan Melayu Negeri-negeri Selat pada tahun itu juga. Pada tahun 1939, Utusan Melayu diterbitkan kerana orang Melayu harus mempunyai surat khabarnya sendiri supaya perjuangan mereka mencapai hasil yang lebih memuaskan.
Mulai 1937,  KMS meluaskan kegiatannya ke Melaka dan Pulau Pinang.  Kesatuan Melayu Melaka dan Kesatuan Melayu Pulau Pinang ditubuhkan pada 1937. Seterusnya, KMS bercantum dengan kedua-dua kesatuan ini untuk membentuk Kesatuan Melayu Negeri-negeri Selat pada tahun itu juga.
Pada tahun 1939, Utusan Melayu diterbitkan kerana orang Melayu harus mempunyai surat khabarnya sendiri supaya perjuangan mereka mencapai hasil yang lebih memuaskan.
Seterusnya, beberapa persatuan di peringkat negeri ditubuhkan. Tujuan umum persatuan-persatuan Melayu ini adalah untuk memperbaiki kedudukan orang Melayu dari segi ekonomi dan sosial dan mencapai perpaduan antara ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin untuk  mengemukakan pendapat dan cadangan yang lebih berkesan kepada pemerintah British.
Antara persatuan tersebut adalah:

· Persatuan Melayu Perak
· Persatuan Melayu Pahang
· Persatuan Melayu  Selangor
· Persatuan Melayu Negeri Sembilan
· Persatuan Melayu  Kelantan
· Persatuan Melayu Sarawak

Lazimnya, pemimpin-pemimpin terdiri daripada golongan diraja dan elit. Mereka adalah bersifat kenegerian dan tidak bersifat kebangsaan.

Persatuan Melayu Perak (September 1937)

Persatuan Melayu Perak yang ditubuhkan pada bulan September 1937 di Ipoh dipimpin oleh Wan Mohd Nor b Wan Nasir dan Dr. S. Kassim. PMP bertujuan untuk meninggikan taraf ekonomi dan pendidikan orang Melayu dan mencurahkan taat setia kepada raja. Persatuan ini dikecam oleh akhbar Majlis kerana tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Persatuan Melayu Perak (September 1937)

Persatuan Melayu Perak yang ditubuhkan pada bulan September 1937 di Ipoh dipimpin oleh Wan Mohd Nor b Wan Nasir dan Dr. S. Kassim. PMP bertujuan untuk meninggikan taraf ekonomi dan pendidikan orang Melayu dan mencurahkan taat setia kepada raja. Persatuan ini dikecam oleh akhbar Majlis kerana tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu.\

Persatuan Melayu Pahang (Mac 1938)
            Persatuan Melayu Pahang ditubuhkan pada bulan Mac 1938. Tujuan-tujuannya:
Memperjuangkan kemajuan pendidikan dan ekonomi orang Melayu.
Menyampaikan masalah-masalah orang Melayu kepada kerajaan British.
Pemimpin-pemimpin utamanya ialah Tengku Muhammad dan Datuk Hussein bin Mohd. Talib.

Persatuan Melayu  Selangor (Jun 1938)

Perjuangan-perjuangannya: Membela nasib kaum Melayu. Memajukan pelajaran kaum Melayu. Mendesak kerajaan menambahkan bilangan pegawai Melayu dalam perkhidmatan pentadbiran. Mencadangkan kerajaan menghentikan kemasukan orang asing secara beramai-ramai. Pemimpin-pemimpin utamanya ialah Tengku Ismail bin Tengku Mohd Yasin, Raja Bon bin Raja Alang dan Abdul Rahim Kajai.  Persatuan Melayu Selangor ini merupakan persatuan yang paling cergas di kalangan persatuan-persatuan negeri.
Persatuan Melayu Negeri Sembilan (September 1938)

Ditubuhkan pada bulan September 1938 .Tujuan  utama persatuan ini adalah untuk menjaga kepentingan dan memajukan hak-hak orang Melayu.
Pemimpin-pemimpin utamanya ialah Tengku Mohd. Nasir, Raja Nordin dan Haji Mohd. Tahir.

Persatuan Melayu  Kelantan (April 1939)

Tujuannya adalah untuk menyatukan orang Melayu dan bekerjasama memajukan serta meninggikan taraf hidup.
Pemimpin-pemimpin utamanya ialah Nik Muhammad Salleh bin Omar, Nik Yahya bin Nik Daud, Haji Othman bin Tahir dan Ahmad Ismail.

Persatuan Melayu Sarawak (1939)

Tujuannya adalah untuk melindungi dan memajukan kepentingan orang Melayu Sarawak. Mereka juga sangat  taat kepada pemerintahan Brooke, hinggalah apabila Sarawak diserahkan kepada British pada 1946.

Golongan Terpelajar yang Berpendidikan Melayu

Golongan ini berhasrat menamatkan penjajahan British di Tanah Melayu secara radikal. Corak perjuangan mereka adalah radikal dan mereka inginkan hak-hak yang lebih bagi orang Melayu. Selain itu mereka mahukan kebebasan berpolitik dan penjajahan kuasa asing ditamatkan.
Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Para pelajar ini banyak mendapat inspirasi daripada majalah Seruan Azhar dan Pilihan Timur yang diterbitkan oleh pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia yang menuntut di Universiti al-Azhar.
Pergerakan nasionalisme di Indonesia juga banyak mempengaruhi perjuangan mereka. Usaha golongan ini bermula sejak akhir 1920-an tetapi pengaruh mereka mula dirasai dengan tertubuhnya Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada Ogos 1938. . Pada 1930, Belia Malaya ditubuhkan oleh Ibrahim Haji Yaacob.

Golongan Reformis Islam

Sifat Pemulihan Islam Sederhana Radikal dengan matlamat perjuangan adalah untuk memajukan masyarakat Melayu melalui pemulihan Islam. Selain itu, matlamatnya juga untuk menggalakkan orang Melayu agar memperbaiki kedudukan sosioekonomi mereka terutamanya dalam pelajaran serta menggalakkan orang Melayu menjaga hak-hak dan kebebasan mereka. Golongan ini bekerjasama dengan British untuk mengemukakan masalah orang Melayu. Ia juga berusaha untuk menamatkan penjajahan British, melindungi hak- hak dan kepentingan orang Melayu serta  menuntut pemulihan politik.
Golongan ini menubuhkan Melayu Raya, iaitu gabungan Tanah Melayu dan Indonesia. Pemimpin- pemimpin utama ialah Syeikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha, Syeikh Mohd.Salim al-Kalali, Mohamad Eunos Abdullah, Tengku Ismail bin Tengku Mohd. Yasin, Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestaman.

Nasionalisme Orang Cina di Tanah Melayu

Secara umumnya, sebelum Perang Dunia Kedua, perasaan nasionalisme orang Cina di Tanah Melayu adalah menghala ke China. Kebanyakan orang Cina menganggap negara China sebagai tanah air mereka. Nasionalisme orang Cina di Tanah Melayu boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang menganggap China sebagai tanah air mereka dan mereka yang lahir di negeri-negeri Selat.
Bagi golongan orang Cina yang lahir di Negeri-negeri Selat, nasionalisme mereka adalah tertumpu kepada Tanah Melayu dan Singapura. Golongan minoriti ini menubuhkan "Straits Born Chinese British Association" pada Ogos 1900 di Singapura. Oleh sebab mereka adalah rakyat British, maka mereka menganggap diri mereka sebagai penduduk Tanah Melayu dan menuntut hak-hak yang sama seperti orang Melayu melalui pertubuhan mereka itu. Pemimpin-pemimpin utamanya ialah Tan Jiak Kim dan Lim Boon Keng. Cawangan-cawangan juga ditubuhkan di Melaka di bawah Lee Keng Liat dan Tan Chay Yan.
Bagi golongan yang menganggap China sebagai tanah air, perkembangan politik mereka di Tanah Melayu adalah tertumpu kepada perkembangan dan pergolakan politik di China. Pada permulaan kurun ke-20, mereka membantu Kang Yu-Wei dalam usahanya untuk menyokong Maharaja Kuang Hsu. Parti Pao-Huang-Hui ditubuhkan di Singapura pada 1900 untuk tujuan ini.
Orang Cina di Tanah Melayu juga memberi sokongan yang kuat kepada Sun Yat Sen dalam usahanya untuk menggulingkan pemerintahan Manchu. Pada 1905, Sun Yat Sen melawat Tanah Melayu dan menubuhkan cawangan Tung Meng Hui di Singapura dan beberapa kawasan di Tanah Melayu.
Apabila berlaku Revolusi 1911, orang Cina di Tanah Melayu memberikan bantuan kewangan kepada Sun Yat Sen. Malah ada sebilangan pemuda Cina pulang ke China untuk membantu dalam revolusi itu. Selepas penubuhan Republik China, Tung Meng Hui disusun semula sebagai Parti Kuomintang (KMT) pada 1912.
Pada Disember 1912, sebuah cawangan KMT ditubuhkan di Singapura dan sepanjang 1913, banyak cawangan KMT ditubuhkan di Tanah Melayu. Konsep KMT yang menganggap semua orang Cina di seberang laut sebagai warganegara  China telah menarik minat orang Cina di Tanah Melayu.
Ahli-ahli KMT di Tanah Melayu memberi sumbangan kewangan bagi usaha pemodenan China.  Selepas terjalinnya Perikatan KMT-Komunis di China mulai 1923, pengaruh komunis mula meresap ke dalam cawangan KMT di Tanah Melayu. Pihak komunis yang berselindung di bawah KMT sering melancarkan mogok dan kegiatan anti-British.
Dari 1937 hingga 1938, PKM melancarkan mogok yang membawa kepada penangkapan dan pembuangan beberapa pemimpin PKM ke China. Pada 1937, apabila Jepun menyerang China, orang Cina di Tanah Melayu menubuhkan Nanyang Chinese National Salvation Movement untuk mengutip derma bagi membantu China menentang Jepun.
Ramai orang China di Tanah Melayu pulang ke China untuk mempertahankan negara China. Hanya selepas Perang Dunia Kedua, kaum Cina memainkan peranan yang lebih aktif dalam politik di Tanah Melayu. Mereka seterusnya membantu menubuhkan Malayan Chinese Assocation (MCA) pada Februari 1949 dengan Tan Cheng Lock sebagai presidennya yang pertama.

Persatuan Sahabat Pena Malaya (PASPAM)
 
Dalam usaha penubuhan persatuan-persatuan di peringkat negeri, terdapat juga usaha-usaha untuk menubuhkan persatuan yang bercorak
kebangsaan. Akhbar Saudara memulakan ruangan Sahabat Pena pada 1934 untuk mengeratkan hubungan di kalangan penulis. Akhirnya, Persaudaraan Sahabat Pena ditubuhkan pada April 1934.  Ia merupakan satu pertubuhan yang berjaya melangkaui negeri ke peringkat kebangsaan. Pada tahun 1935, pertubuhan ini lebih dikenali sebagai Persatuan Sahabat Pena Malaya (PASPAM). Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan dan persaudaraan di kalangan masyarakat Melayu. Ahli-ahlinya terdiri daripada kalangan penulis. Cawangan-cawangannya ditubuhkan di Tanah Melayu dan Sabah.
Ia mengadakan persidangan peringkat kebangsaan yang pertama pada November 1934 di Taiping dengan slogan "Hidup Bahasa Hiduplah Bangsa'. Pada mulanya, ia merupakan sebuah pertubuhan kesusasteraan tetapi lama-kelamaan memperlihatkan cita-cita politiknya.
Pada Ogos 1939, Persatuan Melayu Selangor menganjurkan Kongres Persatuan Melayu yang pertama di Kuala Lumpur sebagai langkah ke arah perpaduan kaum Melayu bagi mengatasi masalah mereka bersama.
Tujuan kongres ini adalah untuk mencari jalan bagi memperkuatkan lagi usaha-usaha orang Melayu. Beberapa buah persatuan Melayu di Tanah Melayu menghadiri kongres ini. Persetujuan diperolehi untuk membentuk Persekutuan Persatuan-persatuan Melayu Tanah Melayu.
Kongres yang kedua diadakan di Singapura pada Disember 1940 dan dihadiri oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persatuan-persatuan Melayu tidak dapat melaksanakan kegiatan-kegiatannya setelah kedatangan Jepun.
Namun, usaha-usaha yang diambil oleh para pemimpin golongan nasionalis Melayu sederhana ini menjadi perintis kepada pergerakan politik selepas Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun, tidak semua orang Melayu yang berpendidikan Inggeris pro-British dan berkhidmat dengan kerajaan British. Mereka adalah seperti Za'ba, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam yang kuat menentang penjajah British.

Kesatuan Melayu Muda (KMM)
Pertubuhan ini mempunyai 35 orang ahli, semuanya pelajar MPSI. Dasar perjuangannya adalah untuk memajukan kebajikan orang Melayu dan membantah penjajahan. Pertubuhan ini dibubarkan kerana ia adalah satu kumpulan yang kecil.  Selepas Belia Malaya dibubarkan, ahli-ahlinya membentuk  Kesatuan Melayu Muda (KMM).
Kesatuan Melayu Muda ditubuhkan di Kuala Lumpur pada Ogos 1938 dengan keahlian antara 50 - 60 orang. Tujuan penubuhannya berlandaskan kehendak untuk menyatukan semua orang Melayu tanpa mengira negeri asal mereka bagi mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.
Ia merupakan satu badan politik peringkat kebangsaan yang berhaluan kiri tetapi bukan komunis. KMM mengamalkan dasar tidak bekerjasama dan tidak bertolak-ansur dengan penjajah.  Ia menunjukkan tentangannya terhadap British secara terbuka.
Kebanyakan ahli dan pemimpin KMM adalah lepasan MPSI, ahli-ahli Belia Malaya, pelajar-pelajar Sekolah Teknik Kuala Lumpur dan Sekolah Pertanian Serdang. Presidennya ialah Ibrahim Haji Yaacob.  Pemimpin-pemimpin KMM yang utama ialah:

  • Mustapha Hussain
  • Hassan Manan
  • Ishak Haji Muhammad

Ishak Haji Muhammad

Ishak Haji Muhammad merupakan salah seorang lagi nasionalis yang kuat menentang British. Walaupun beliau berpendidikan Inggeris dan pernah berkhidmat sebagai pegawai tadbir kerajaan, beliau meletakkan jawatan kerana tidak menyetujui dasar-dasar British dan kaum feudal Melayu.

Ibrahim haji Yaacob

Dilahirkan di Termeloh, Pahang pada tahun 1911. Beliau dipengaruhi oleh kegiatan nasionalis Indonesia dan pernah menjadi ahli Parti Nasional Indonesia. Beliau adalah orang yang bertangungjawab menubuhkan Belia Malaya, Ikatan Pemuda Pelajar dan Ikatan Semenanjung Borneo yang bertujuan membangkitkan semangat kebangsaan masyarakat Melayu.
Beliau pernah bertugas sebagai seorang guru di Bentong. Beliau juga pernah menjadi Penolong Pengarah akhbar Majlis pada tahun 1938 dan menjadi Pengarah pada tahun 1839.  Beliau menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KKM) pada tahun 1938.  Pada tahun 1939 beliau telah dipenjarakan kerana kegiatan anti-Inggerisnya dan dibebaskan semasa pendudukan Jepun.
Pada tahun 1942, beliau dilantik menjadi Leftenan Kolonel oleh Jepun dalam tentera Pembela Tanah Air (PETA). Beliau  bersama Dr.Burhanuddin dan Onan Siraj menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) yang bertujuan mencantumkan Semenanjung Tanah Melayu dengan Sumatera.

Ahmad Boestaman

            Dilahirkan di Behrang, Ulu Tanjong Malim. Beliau menjadi wartawan Majlis pada tahun 1930 dan kemudian menjadi Penolong Pengarang. Beliau berfahaman radikal. Beliau adalah seorang pengasas Parti Kebangsaan Malaya dan menjadi ketua bagi Angkatan Pemuda Insaf (API). Beliau berhaluan kiri dan menentang keras penjajahan Inggeris.

Perjuangan KMM

Perjuang KMM adalah untuk melindungi hak dan kepentingan orang Melayu.  Selain itu KMM berusaha untuk menyingkirkan British dan mendapatkan kemerdekaan serta berusaha menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia untuk membentuk Melayu Raya.
Dasar anti-British dan usaha untuk membangkitkan semangat kebangsaan Melayu disuarakan melalui akhbar Majlis dan Warta Malaya. Cawangan-cawangan KMM ditubuhkan di seluruh Tanah Melayu.
Ahli-ahlinya adalah bekas pelajar MPSI yang menjadi guru-guru sekolah Melayu yang membantu dengan cergasnya dalam penubuhan cawangan dan kegiatan MPSI.  Walaupun kepimpinan Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad amat dinamis, perjuangan KMM tidak mendapat sokongan penuh daripada rakyat. Kegiatan-kegiatannya terbatas di Kuala Lumpur sahaja. KMM bersikap antigolongan birokrasi  Melayu yang berpendidikan Inggeris dan antigolongan feudal Melayu.  Kerajaan British sedar akan ancaman KMM yang berhaluan kiri ini lalu menangkap dan memenjarakan kebanyakan daripada pemimpinnya, termasuk Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad.
Semasa pendudukan Jepun, pemimpin-pemimpin KMM dibebaskan dan mereka bekerjasama dengan Jepun untuk menyebarkan propaganda anti-British di kalangan rakyat Tanah Melayu. KMM dibubarkan oleh Jepun pada 29 April 1942.

Nasionalisme Orang India di Tanah Melayu

Sebelum Perang Dunia Kedua, pergerakan nasionalisme orang India di Tanah Melayu adalah menghala ke arah perkembangan dan pergolakan politik di negara India. Ramai orang India di Tanah Melayu menganggap negara India sebagai tanah air mereka.
Golongan profesional  dan peniaga India di Tanah Melayu yang berpendidikan Inggeris menubuhkan beberapa buah persatuan untuk menjaga kepentingan masyarakat India. Antaranya ialah Persatuan Belia India, Persatuan India Tanah Melayu, Persatuan India Taiping (1906), Persatuan India Selangor (1909) dan Persatuan India Singapura (1923). Tujuan persatuan-persatuan ini adalah untuk mengadakan ikatan yang lebih rapat di kalangan masyarakat India bagi melindungi kepentingan sosioekonomi mereka dan juga untuk mengikuti perkembangan yang berlaku di negara India.
Persatuan-persatuan ini juga menubuhkan sekolah-sekolah Tamil dan Inggeris serta menyediakan kemudahan rekreasi untuk ahli-ahli mereka. Mulai 1920-an dan 1930-an, persatuan-persatuan ini mula menuntut perwakilan orang India di Majlis Mesyuarat Persekutuan dan negeri serta memperjuangkan kepentingan sosioekonomi orang India di Tanah Melayu. Seruan-seruan yang mahukan masyarakat India berkerjasama membawa kepada penubuhan Persatuan India Pusat Tanah Melayu atau "Central India Association of Malaya" (CIAM) pada 1937. CIAM juga memberikan tumpuan kepada perjuangan Parti Kongres India di India.

CIAM

Merupakan gabungan 12 buah persatuan India dan 4 buah Dewan Perniagaan India.
Disifatkan sebagai parti politik India yang pertama di Tanah Melayu.
Tujuan-tujuannya:
·    Memajukan dan menjaga kebajikan orang India.
·    Meninggikan taraf hidup orang India.
·    engadakan dan memelihara kepentingan politik orang India di Tanah Melayu.

Melaluinya, masyarakat India buat pertama kalinya menyatakan tujuan politik mereka secara terbuka. Antara perjuangannya termasuklah meminta kerajaan British menghalang penjualan todi
dan berusaha supaya gaji buruh India di ladang-ladang getah tidak diturunkan.
Dr. A.M. Soosay merupakan Yang Dipertuanya yang pertama.  Pada 1937, Nehru melawat Tanah Melayu.  Lawatan ini menambahkan minat politik orang India terhadap India.  Walaupun terdapat usaha dan langkah politik di Tanah Melayu, ia adalah terbatas kerana tumpuan politik masih pada negara asal, sehingga selepas Perang Dunia Kedua.

Tingkatan 2 Bab 7


Pada akhir pengajaran dan pembelajaran bab ini,
anda seharusnya dapat:
·    Membincangkan tujuan perjuangan menentang Biritsh.
·    Menerangkan bentuk perjuangan tokoh-tokoh tempatan.
·    Menerangkan kesan perjuangan tokoh-tokoh tempatan.
·    Menanam semangat cintakan tanah air dengan mengambil iktibar daripada perjuangan tokoh-tokoh tempatan.

Penentangan Terhadap British


Pengaruh British mula bertapak di Tanah Melayu pada tahun 1786 selepas Francis Light mendarat di Pulau Pinang. Pulau Pinang dijadikan petempatan British. Seterusnya, British meluaskan kuasanya ke beberapa negeri Melayu lain yang kemudiannya berjaya diletakkan di bawah pentadbirannya.
Sabah ditadbir oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Sarawak pula ditadbir oleh Keluarga Brooke. Kerajaan British tidak terlibat secara langsung dalam pentadbiran di Sabah dan Sarawak sebelum 1946. Pentadbiran  British memperkenalkan banyak pembaharuan serta membuat banyak perubahan  ke atas corak pemerintahan tradisional. Campur tangan British di negeri-negeri Melayu telah membawa kepada pengenalan Sistem Residen dan Penasihat British. Pengenalan sistem ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati khususnya golongan pembesar kerana kedudukan mereka tergugat. Sesetengah pembesar telah kehilangan kuasa memungut cukai dan kuasa kehakiman. Residen dan penasihat pula telah melampaui kuasa mereka sebenarnya.

Pejuang-pejuang Tanah air


Perubahan-perubahan yang dibuat oleh British dilaksanakan secara tergesa-gesa dan tidak mempertimbangkan perasaan orang Melayu. Akhirnya, berlaku penentangan tokoh-tokoh tempatan ini berlandaskan kepada dua matlamat utama iaitu untuk mengusir penjajah British dari negeri Melayu dan mengekalkan sistem pentadbiran tempatan yang menjamin kekuasaan dan kedaulatan sultan. Namun, perjuangan tokoh-tokoh tempatan ini gagal kerana tiada penyatuan di kalangan rakyat.

 

Penentangan Dol Said di Naning

Naning adalah sebuah wilayah kecil di bahagian utara Melaka dan didiami oleh orang Minangkabau  yang  berasal dari Sumatera. Ia terletak antara Rembau dan Melaka. Semasa Melaka ditadbir oleh Belanda, Naning diletakkan di bawah naungan Belanda. Naning membayar ufti tahunan kepada Belanda. Pada 1824, British yang berjaya menguasai Melaka melalui Perjanjian Inggeris-Belanda dan menganggap Naning sebagai sebuah wilayah di bawah kekuasaannya. Penduduk Naning diarah menghantar ufti tahunan dan membayar cukai sebanyak satu persepuluh daripada hasil negeri kepada Melaka. Dol Said enggan membayar cukai tersebut. Beliau juga menentang campur tangan orang British dalam adat resam penduduk Naning.
     British bertindak memansuhkan jawatan penghulu dan ketua-ketua suku. Mereka yang terlibat dalam pemansuhan jawatan-jawatan tersebut dilantik sebagai pengutip cukai dalam negeri. Dol Said menganggap dirinya sebagai pemerintah bebas. Oleh itu, beliau menganggap tindak-tanduk British  sebagai mencabar kekuasaannya. British mengambil keputusan menyerang Naning apabila Dol Said enggan berjumpa dengan pegawai British dan mematuhi arahannya. Pada 1831, angkatan tentera British menyerang Naning tetapi gagal mengalahkan Naning. Kejayaan Dol Said menghadapi serangan British adalah kerana mendapat bantuan daripada negeri-negeri  jiran seperti Rembau, Seri Menanti dan Sungai Ujong. Pada 1832, British sekali lagi menyerang  Naning dengan satu angkatan perang yang lebih kuat. Naning dapat ditawan tetapi Dol Said berjaya melarikan diri.
 

Dol Said menyerah diri kepada British pada 1833. Beliau diberikan pencen dan sebuah rumah di Melaka. Beliau dibenarkan pulang ke Naning pada 1849 dan meninggal dunia pada tahun yang sama. Naning menjadi sebahagian wilayah pentadbiran Melaka. Jawatan Penghulu dimansuhkan dan digantikan dengan jawatan Penguasa (Superintenden). Penguasa bertugas memungut cukai, menjalankan undang-undang dan mengawal ketenteraman.

Perjuangan Dato' Maharaja Lela di Perak

Nama sebenarnya ialah Pandak Lam. Beliau  menyokong pemerintahan Sultan Abdullah. Mengikut Perjanjian Pangkor 1874, Sultan Abdullah diiktirafkan sebagai Sultan Perak yang sah dengan seorang Residen British sebagai penasihat. Sultan Abdullah menerima  J.W.W. Birch  sebagai Residen British Perak tetapi Birch terlalu banyak mencampuri hal ehwal adat istiadat orang Melayu.
Birch memulakan tugasnya dengan memperkenalkan banyak pembaharuan secara mendadak tanpa mempertimbangkan perasaan orang Melayu Perak. Beliau turut mencampuri adat resam orang Melayu berikutan tindakannya yang telah menamatkan hak Sultan dan pembesar-pembesar Melayu mengutip cukai  tanpa bayaran ganti rugi. Birch juga menamatkan amalan pengabdian dan memberi perlindungan kepada hamba-hamba yang melarikan diri. Tindakannya membangkitkan kemarahan pembesar -pembesar Melayu kerana adat hamba hutang ini merupakan adat resam Melayu lama.
Memungut cukai merupakan amalan tradisional pembesar-pembesar Melayu Perak tetapi tindakan Birch menyerahkan hak memungut cukai kepada pembesar-pembesar British menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Melayu. Pembaharuan-pembaharuan Birch melemahkan kedudukan Sultan dan para pembesar. Hubungan Birch dengan  Sultan Abdullah menjadi tegang. Pembesar-pembesar yang menyokong Sultan  Abdullah mendapati kuasa dan hak mereka semakin berkurangan.
Pada Oktober 1875, Sultan Abdullah dipaksa menandatangani surat perisytiharan yang mengandungi persetujuan baginda menyerahkan kuasa pentadbiran kepada British. Perkara ini semakin memuncakkan lagi kemarahan orang-orang Melayu.

Kebangkitan di Perak 1875

Sultan dan pembesar-pembesar Hilir Perak berkomplot untuk membunuh Birch dan mengusir British dari Perak. Sultan Abdullah memerintahkan Dato' Maharaja Lela membunuh Birch. Baginda dan Raja Ismail menyediakan alat-alat senjata untuk mengusir British dari Perak.
     
Pada November 1875, Birch dibunuh oleh dua orang upahan Dato' Maharaja Lela di Pasir  Salak. Tentera British berjaya mengawal kebangkitan orang Melayu di Perak dan menawan Pasir Salak pada 15 November 1875. Semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch ditangkap. Dato' Maharaja Lela dan Tok Sagor dijatuhkan hukuman gantung di Matang . Sultan Abdullah, Orang Kaya-kaya Menteri  dan Ngah Ibrahim pula dibuang negeri ke Pulau  Seychelles.

Kesan Penentangan

Kegagalan penentangan orang Melayu di Perak menunjukkan British lebih kuat. Terdapat juga orang Melayu Perak bekerjasama dengan British. Tanpa penyatuan semua pembesar Melayu dan penduduk Perak, perjuangan  menentang kuasa penjajah berakhir dengan kegagalan. Peristiwa pembunuhan Birch menyebabkan British lebih berhati-hati dalam melantik seorang Residen baru yang lebih cekap dan berpengalaman. Sir Hugh Low dilantik sebagai Residen British yang kedua di Perak.

Yamtuan Antah

Yamtuan Antah menentang penempatan seorang Penolong Residen British di Sungai Ujong. Beliau khuatir British akan meluaskan kuasanya ke kawasan-kawasan di sekitar Sungai Ujong. Kapten Tatham dihantar ke Sungai Ujong untuk bertugas sebagai Penolong  Residen British setelah Dato' Kelana meminta bantuan dan perlindungan British.
Pada 1875, perlantikan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti tidak diiktiraf oleh Dato' Kelana kerana beliau telah berkuasa sejak 1874. Yamtuan Antah turut bertindak balas dengan tidak mengiktiraf Dato' Kelana  sebagai pemerintah Sungai Ujong.  Satu pergaduhan berlaku antara Yamtuan Antah dengan Dato' Kelana. Pergaduhan ini berlaku  berikutan tuntutan Dato' Kelana ke atas Terachi yang dianggap kawasan di bawah kekuasaannya. Dengan bantuan tentera British, Dato' Kelana dapat menewaskan Yamtuan Antah. Tengku Antah terpaksa berundur ke Bukit Putus. British seterusnya menawan Bukit Putus dan menguasai Kuala Jempol serta Terachi pada bulan Disember 1875.
Maharaja Abu Bakar dari Johor menasihati Yamtuan Antah supaya berdamai dengan British. Pada akhir 1876, Yamtuan Antah menandatangani satu perjanjian dengan British. Beliau diiktiraf sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti dan jajahan takluknya  iaitu  Johol, Jempol, Terachi, Ulu Muar, Inas dan Gunung Pasir.

Dato' Bahaman - Penentangan British di Pahang

Dato' Bahaman adalah seorang pembesar yang penting dalam kerajaan Pahang. Beliau dilantik sebagai Orang Kaya Semantan kerana jasanya kepada Bendahara Wan Ahmad dalam perang saudara tahun 1857 hingga 1863. Pada tahun 1888, J.P. Rodger dilantik sebagai Residen British di Pahang dan memperkenalkan jawatan 'Pemungut dan Majistret'. Para pembesar Melayu menentang pengenalan sistem Residen di Pahang. Penentangan ini berpunca daripada soal kehilangan kuasa dan hak keistimewaan yang mereka alami.
        Berdasarkan sistem Residen, para pembesar Melayu dilarang mengutip cukai, menyimpan hamba abdi dan cukai ke atas tanah pula dikenakan.  J.P. Rodger melantik pegawai-pegawai British yang dikenali sebagai Pemungut  dan Majistret untuk mentadbir daerah-daerah di Pahang. Tindakan Rodger ini menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Pahang. Pembesar yang mula-mula menentang penjajah British di Pahang ialah Dato' Bahaman. Kehilangan kuasa Sultan dan hak-hak istimewa pembesar Melayu merupakan sebab terpenting meletusnya kebangkitan Pahang.

Kebangkitan di Pahang


Kebangkitan ini diketuai oleh Dato' Bahaman. Kebangkitan di Pahang berlaku pada pertengahan Disember 1891. Ini berikutan tindakan Dato' Bahaman  menyerang pasukan  polis yang menahan pengikut-pengikutnya atas kesalahan memungut hasil hutan tanpa kebenaran pentadbiran baru.
Dato' Bahaman kemudiannya menyerang balai polis di Lubuk Terua dan menawan Temerluh. Penyertaan Tok Gajah dalam kebangkitan ini adalah kerana British tidak menambahkan elaunnya. Anaknya, Mat Kilau yang anti-British turut menyertai kebangkitan  ini. Kebangkitan di Semantan merebak ke daerah-daerah lain.
Pada pertengahan Jun 1894, para pejuang Pahang menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis. Mereka kemudiannya berundur ke Jeram Ampai yang berdekatan dengan Kuala  Tembeling dan menawan Kubu British di sana. Namun, pihak British bertindak balas dengan melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya di Jeram Ampai.
Pasukan pertahanan British terdiri daripada kumpulan anggota polis Sikh, Perak dan Selangor. Sekali lagi pejuang-pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan  Terengganu. Hugh Clifford dihantar ke negeri-negeri itu untuk memberkas kumpulan penentang tersebut.
Namun begitu, pemerintah kedua-dua negeri itu enggan menyerahkan Dato' Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau kepada British. Pihak British mendapat berita bahawa Dato' Bahaman dan sekumpulan pejuang Pahang melarikan diri ke Siam. Pihak British cuba mendapatkan bantuan Siam untuk memburu Dato' Bahaman. Pada 1895, Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerah diri kepada kerajaan Siam.

Perjuangan Tok Janggut di Kelantan


Nama sebenar Tok Janggut ialah Haji Mat Hassan iaitu Ketua Kampung Jeram yang terletak dekat Pasir Putih. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berani dan handal dalam ilmu silat. Beliau juga seorang yang alim dan sangat dihormati oleh penduduk di kawasan Jeram.
Sejak meluaskan kuasa ke Kelantan, British menghadapi penentangan penduduk tempatan. Pada 1915, berlaku satu penentangan hebat rakyat Kelantan terhadap British. Penentangan ini diketuai oleh Tok Janggut yang berpunca daripada  pengenalan beberapa peraturan baru oleh British. Peraturan-peraturan ini didapati bertentangan dengan cara pemerintahan tradisional, seperti perlantikan Ketua Jajahan yang  mengancam kedudukan pembesar. Penduduk dipaksa membayar pelbagai jenis cukai.
Sebelum kedatangan British, Engku Besar Tuan Ahmad (Engku Besar Jeram) dilantik sebagai  pembesar kawasan Jeram (sebuah daerah kecil di Pasir Puteh). Setelah kedatangan British, seorang Ketua Jajahan  dilantik di Pasir Puteh.  Perlantikan ini menyebabkan Engku Besar Jeram kehilangan kuasa pentadbirannya. Tugas-tugas utamanya seperti mengutip cukai dan menyelesaikan  kes-kes jenayah diambil alih oleh Ketua Jajahan.
Kemarahan Engku Besar tidak dapat dibendung lagi apabila baliau terpaksa membayar cukai seperti orang ramai. Oleh itu, beliau menyokong perjuangan Tok Janggut. Pada 1 Januari 1915, kerajaan mengenakan cukai tanah yang baru. Rakyat dikehendaki membayar cukai ke atas semua jenis tanah tanpa mengambil  kira sama ada diusahakan atau tidak. Rakyat tidak berpuas hati kerana cukai yang  tinggi membebankan mereka dan menguntungkan British. Pada 1913, Encik Latiff menjadi Ketua Jajahan di Pasir Puteh bagi menggantikan Encik Salleh. Ketua Jajahan yang baru ini tidak disukai kerana beliau terlalu tegas dalam  menguatkuasakan sistem cukai tanah. Penduduk Jeram juga tidak suka ditadbir oleh Encik Latif yang berasal dari Singapura. Tok Janggut kemudiannya bertindak mengumpul pemimpin-pemimpin lain untuk membantunya mengusir orang British dari Kelantan.

Kebangkitan Tok Janggut pada 1915

Penentangan berlaku di kawasan Jeram dan berpusat di Pasir Puteh. Penentangan ini berlaku semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV. Perjuangan Tok Janggut disertai oleh Engku Besar Tuan Ahmad, Penghulu Adam,  Haji Said dan Encik Ishak Merbul.
Tok Janggut mempengaruhi penduduk di Pasir Puteh supaya tidak membayar cukai. Kerajaan British bertindak balas dengan menghantar  surat saman kepada Tok Janggut dan pengikut- pengikutnya untuk dibicarakan di mahkamah. Apabila Tok Janggut tidak hadir di mahkamah, perintah menangkap beliau dikeluarkan.
Tok Janggut telah membunuh seorang anggota polis, Sarjan Che' Wan yang cuba menangkap beliau. Peristiwa  pembunuhan ini merupakan detik permulaan  penentangan bersenjata penduduk Jeram terhadap penjajah British. Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya menawan balai polis di Pasir Puteh awal 1915. Beliau kemudiannya menubuhkan pemerintahan sementara di Pasir Puteh. Engku Besar dilantik menjadi raja di kawasan itu. Tok Janggut pula menjadi Perdana Menteri.  British dengan bantuan askar dari Singapura dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu  berjaya menawan semula Pasir Puteh.
Kegagalan Tok Janggut dalam menentang British menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya terpaksa berundur. Namun, Tok Janggut masih tidak berputus asa dan ingin berjuang habis- habisan. Pada akhir Jun 1915, mereka menyerang semula Pasir Puteh. Dalam pertempuran hebat itu, Tok Janggut dan ramai pengikutnya terbunuh. Untuk melemahkan semangat perjuangan penduduk Pasir Puteh, pihak British  mengarahkan supaya  mayat Tok Janggut diarak ke Kota Bharu.

Pejuang-pejuang Tanah Air di Sabah dan Sarawak

 Kehadiran British di Sabah dan Sarawak juga dianggap sebagai penjajah asing yang tidak disenangi oleh penduduk peribumi. Walaupun British banyak membawa perubahan dan kemajuan, perubahan yang dijalankan secara tergesa-gesa dan tidak mempertimbangkan perasaan penduduk setempat telah menimbulkan kemarahan mereka. Perubahan yang dibawa juga banyak bertentangan dengan budaya dan cara hidup tradisional mereka. Maka dalam keghairahan British melakukan perubahan di Sabah dan Sarawak, muncullah beberapa pejuang iaitu:- Penentangan Rentap di Sarawak

Penentangan Rentap di Sarawak

Nama sebenar Rentap  ialah Libau dan digelar 'Raja Darat' oleh masyarakat Iban. Rentap ialah ketua orang Iban yang tinggal di hulu Sungai Sekrang. Ia merupakan Pahlawan Iban yang terkenal. Kebangkitan penentangan Rentap adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati  terhadap beberapa tindakan yang dijalankan oleh keluarga Brooke yang memerintah. Rentap dianggap  sebagai lanun oleh pemerintahan Brooke. Kemaraan British mencerobohi kawasan petempatan orang Iban  di sepanjang Sungai Sekrang kerana  bertujuan untuk menghapuskan penduduk tempatan  yang dianggap lanun . Keluarga Brooke juga menghapuskan amalan memburu kepala di kalangan kaum Iban. 
Pada tahun 1853, Rentap meyerang kubu Brooke di Nanga Sekrang. Dalam serangan itu, seorang pegawai British, Alan Lee terbunuh. Pada 1853, Rentap diserang balas oleh pasukan askar British tetapi beliau dapat melarikan diri dan menubuhkan kubu baru di atas Bukit Sadok.
Kubu ini sangat kuat dan teguh serta dilengkapi dengan selaras meriam besi yang besar. Pihak Brooke menyerang kubu tersebut pada 1854 dan 1857 tetapi gagal  menawannya. Pertempuran sengit berlaku lagi pada tahun 1861 kerana Charles Brooke menyerangnya lagi dengan sebuah meriam tembaga yang dinamakan Bujang Sadok dari Kuching.
            Kubu Rentap akhirnya berjaya ditembusi dan beliau melarikan diri ke dalam hutan. Beliau menetap di Sungai Entabai dan meninggal dunia di sana. Perjuangannya untuk mempertahankan cara hidup orang  Iban  menemui kegagalan. Keluarga Brooke mengukuhkan kuasa mereka di Sarawak dan mengubah tradisi  hidup penduduk peribumi.

Penentangan Syarif Masahor di Sarawak


 Syarif Masahor merupakan seorang pemimpin yang disegani oleh masyarakat Iban dan Melanau. Beliau dilantik oleh Sultan Brunei sebagai Gabenor Sarikei di Sungai Rajang. Beliau merupakan seorang pembesar  yang cekap dan jujur. Pengenalan pentadbiran baru oleh James Brooke menerima tentangan daripada pembesar-pembesar Sarawak. Para pembesar ini berhasrat mengusir orang Eropah keluar dari Sarawak dan  mengambil alih kerajaan.  Beberapa tindakan James Brooke menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Sarawak, seperti  mengambil alih hak memungut cukai dan menghapuskan  amalan hamba hutang dan amalan pemburuan kepala. Atas rasa tidak puas hati itulah Syarif Masahor bangun menentang kerajaan Keluarga Brooke.
Pada 1859, mereka menyerang kubu British di Kanowit. Dua orang pegawai British iaitu Henry Steel dan Charles Fox terbunuh.  James Brooke segera bertindak balas menyerang Kanowit.  Orang Melayu dan Dayak yang terlibat dalam pembunuhan dua pegawai British itu dihukum mati. Pada 1860, Syarif Masahor membuat persiapan menyerang Kuching melalui laut.
Sekali lagi James Brooke berjaya mematahkan serangan Syarif Masahor dan kapal-kapal perangnya ditenggelamkan.  Syarif Masahor sempat melarikan diri ke Brunei. Atas desakan Brooke, Sultan Brunei memerintahkan supaya Syarif Masahor dihantar ke Singapura.
            Kegagalan penentangan Syarif Masahor adalah kerana tidak wujud penyatuan di kalangan rakyat Sarawak.  Kebanyakan bangsawan Melayu tidak memberi sokongan kepada Syarif Masahor kerana mereka lebih setia kepada Raja Brooke. Oleh itu, Raja Brooke dengan mudahnya dapat meluaskan kuasanya ke daerah- daerah lain.

Penentangan Mat Salleh di Sabah


Nama sebenar pahlawan Mat Salleh ialah Mohammad Salleh. Beliau berketurunan Bajau dan Suluk dan dilahirkan di Inanam. Beliau menjadi pembesar di hulu Sungai Sugut yang merupakan tempat Kompeni Berpiagam sering campur tangan. Rancangan W.C Cowie, Pengarah Urusan Syarikat Berpiagam Borneo Utara untuk menjalankan pembangunan secara besar-besaran menyebabkan penderitaan rakyat. Berbagai jenis cukai telah dikenakan oleh Syarikat Berpiagam. Perluasan kuasa Syarikat Berpiagam juga telah menyekat kebebasan pembesar-pembesar tempatan. Oleh itu, beliau telah melancarkan penentangan  secara besar-besaran terhadap syarikat dari tahun 1894 hingga 1900.
 
Wiliam Cowie berpendapat keadaan yang tidak stabil itu perlu ditamatkan. Beliau mengesyorkan perdamaian diadakan. Mat Salleh setuju menghadiri rundingan perdamaian yang diadakan oleh Cowie di Menggatal. Pada bulan April 1898, Mat Salleh setuju menamatkan permusuhan dan dibenarkan mentadbir kawasan Tambunan dengan bebas. Malangnya Kompeni mungkir janji dan mengambil alih kuasa di Tambunan lalu perang tercetus sekali lagi yang menyebabkan Mat Salleh tertembak dan meninggal dunia.

Penentangan Antanum

  Pada tahun 1915, orang Murut bangun menentang Syarikat Berpiagam di Sabah. Pemberontakan ini dikenali sebagai Kebangkitan Rundum. 
Pemberontakan ini diketuai oleh Antanum. Antanum ialah seorang ketua orang Murut. Beliau berjaya menyatupadukan kaum Murut untuk menentang Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Penentangan orang Murut terhadap Syarikat disebabkan oleh beberapa faktor iaitu:
·           Mengenakan cukai ke atas beras dan ubi kayu yang digunakan oleh orang
             Murut untuk membuat air tapai.
·           Melarang orang Murut menerangkan hutan untuk penanaman  padi huma.
·           emaksa orang Murut membina jalan-jalan kecil di hutan tanpa bayaran gaji.
·           Menamatkan amalan pemburuan kepala dan perhambaan.

Kemarahan kaum Murut ini akhirnya membawa kepada Kebangkitan Rundum pada 1915. Pada Februari 1915, Antanum yang mengetuai orang Murut menyerang dan membakar Pejabat Daerah di Pensiangan.  Antanum kemudiannya menyerang Rundum tetapi bandar itu berjaya diselamatkan oleh pasukan Syarikat Berpiagam. Antanum dan pengikut-pengikutnya berundur ke Sungai Selangit dan membina sebuah kubu di sana.  Pasukan Syarikat menyediakan askar yang lebih ramai untuk menyerang kubu di Sungai Selangit dan menangkap Antanum. Serangan Syarikat mengakibatkan Antanum dan ramai pengikutnya terkorban.


Tingkatan 2 Bab 6

Penguasaan Terhadap Hasil Bumi Kita

Perubahan dalam Kegiatan Pertanian

Pada akhir pengajaran dan pembelajaran bab ini,
anda seharusnya dapat:
·    Menjelaskan perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam bidang pertanian, perlombongan dan pengeluaran hasil hutan di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu.
·    Menjelaskan perubahan sosial yang berlaku akibat daripada perubahan ekonomi.
·    Menilai dan menjelaskan setakat mana perubahan sosial dan ekonomi memberi faedah kepada penduduk tempatan.
·    Berasa bangga dengan kekayaan hasil bumi negara kita.
Perluasan pengaruh British membawa kepada pembangunan ekonomi di beberapa kawasan di negeri-negeri Melayu. Teknologi Barat, modal dan barang-barang dari luar negeri masuk ke negeri-negeri Melayu menerusi Negeri-negeri Selat yang menikmati kekayaan itu.
Menerusi Negeri-negeri Selat juga, tenaga kerja dari negeri China dan India dibawa masuk untuk menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah dan penanaman getah. Pusat-pusat bandar seperti Taiping, Ipoh, Klang, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor berubah menjadi bandar-bandar yang lebih maju.
     Hasil daripada bijih timah dan perusahaan getah membolehkan perkhidmatan sosial, sistem
perhubungan yang cekap dan sistem pentadbiran yang moden diwujudkan. Namun, faedah daripada pembangunan ekonomi tidak dinikmati oleh seluruh masyarakat. Hasil kerajaan dibelanjakan di kawasan-kawasan bandar yang merupakan tempat tumpuan bagi perlombongan bijih timah dan perusahaan getah.

Perubahan Ekonomi pada Akhir Abad ke-19


Selepas sistem Residen diperkenalkan, British menggalakkan orang-orang Eropah  mengusahakan pertanian niaga. Pada 1880-an, orang Eropah mula membuka ladang secara besar-besaran di  Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Penduduk tempatan turut menanam tanaman kopi, lada hitam dan ubi kayu tetapi  secara kecil-kecilan. Tindakan British mengimport barangan buatan kilang Eropah menimbulkan  persaingan terhadap barangan keluaran perusahaan tempatan. Walau bagaimanapun British tidak menggalakkan orang Melayu menceburi pertanian niaga.
Antara aktiviti pertanian niaga  yang dimajukan adalah :
· Getah
· Padi
· Tanaman Rempah
· Kelapa dan Kelapa Sawit
· Pembalakan

Tanaman Ladang yang lain

 Penanaman Getah


            Getah ialah tanaman dagangan yang penting pada kurun ke-20 yang mula diperkenalkan di Tanah Melayu oleh orang British pada akhir kurun  ke-19.  Pada 1876, Sir Henry Wickham mendapatkan biji getah dari Brazil dan  menghantarnya ke Taman Kew di London untuk tujuan percambahan.
Dari London, anak benih getah dihantar ke Sri Lanka dan kemudiannya ke Singapura. Benih-benih getah ini seterusnya dihantar ke tempat kediaman Residen Perak, Sir  Hugh Low di Kuala Kangsar. Benih-benih ini adalah daripada jenis Hevea Brasiliensis. Pada mulanya, getah hanya ditanam secara kecil-kecilan di Perak, Selangor dan  Negeri Sembilan oleh peladang-peladang British.

Institut Penyelidikan Getah ditubuhkan pada 1926 di Kuala Lumpur. Badan ini berfungsi menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan mutu  pengeluaran  getah.  Perubahan dalam kegiatan ekonomi di Tanah Melayu pada kurun ke-19 didorong oleh tiga faktor berikut :
·    Terdapat modal asing.
·    Wujudnya sistem pengangkutan yang baik.
·    Terdapatnya tenaga buruh yang banyak dan murah.
Syarikat-syarikat Eropah seperti Guthrie dan Harrisons & Crosfield membuka  ladang-ladang getah yang besar di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Getah juga ditanam di Kedah, Melaka dan Johor. Orang Melayu turut mengusahakan penanaman getah dan saiz keluasan kawasan  penanaman tidak melebihi 4 hektar.  Pada 1897, keluasan tanaman getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu ialah 140  hektar sahaja. Bagaimanapun, keluasannya meningkat kepada 16,200 hektar pada  1905. Selepas 1906, beribu-ribu hektar tanah dibuka untuk penanaman getah.

Kemerosotan Perusahaan Getah


Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1920-an menyebabkan harga getah di pasaran merosot. Pengeluaran mula melebihi permintaan di pasaran. Rancangan Pembatasan Getah Stevenson diperkenalkan pada tahun 1922 untuk mengawal harga getah di pasaran dunia. Rancangan ini ditamatkan pada tahun 1926 kerana Belanda dan Indonesia enggan mengehadkan pengeluarannya.
Pada tahun 1934, Rancangan Kawalan Getah Antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengawal eksport getah dan menstabilkan harganya di pasaran dunia.
Negara-negara pengeluar yang menganggotai  rancangan ini ialah  Tanah Melayu, Indo-China, Borneo Utara, Sarawak, Sri Lanka, Burma, India dan Negara Thai. Melalui rancangan ini, setiap negara anggota diberi kuota penanaman dan kuota eksport. Rancangan ini berjaya menaikkan semula harga getah. Selepas Perang Dunia Kedua, masa depan getah asli mula terancam dengan penciptaan getah tiruan dari barat.

Penanaman Padi

Akhir kurun ke-18, British mengadakan rancangan tanaman padi di kawasan  Kerian, Perak. Negeri-negeri yang banyak menghasilkan padi ialah Kedah, Kelantan dan Negeri  Sembilan.  Pada 1932, Jabatan Parit dan Taliair ditubuhkan untuk menambahkan  pengeluaran padi dan membuka kawasan baru untuk penanaman padi.
Bagi mencapai kedua-dua objektif tersebut, jabatan ini mengenal pasti beberapa  kawasan baru yang dapat diusahakan penanaman padi.

Dua projek penanaman padi yang terpenting ialah :
·        Sungai Manik di Hilir Perak yang seluas 9,400 hektar.
·        Tanjung Karang  di Selangor yang seluas 13,200 hektar.

Selain itu, kawasan-kawasan baru untuk menanam padi juga dibuka di Kerian, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang  Selain itu, pembinaan terusan Wan Mat Saman oleh Perdana Menteri Kedah, Wan Mat Saman pada tahun 1895 dianggap penting dalam sejarah  pertanian di Tanah Melayu. Ini kerana, pembinaan terusan tersebut membolehkan penanaman padi dijalankan  secara besar-besaran.

Tanaman Rempah dan Lada Hitam

Lada hitam ditanam di Pulau Pinang sejak 1790-an dan dieksport terutamanya ke Britain dan kemudiannya diedarkan ke Eropah. Penanaman lada hitam merosot  ketika pemerintahan  Napoleon di Perancis kerana beliau  menyekat eksport Britain ke Eropah.
Ladang-ladang lada hitam dan gambir mula dibuka di sepanjang Selat Tebrau  antara 1840-an dan 1850-an. Kedua-dua tanaman ini menjadi eksport penting bagi Johor sehingga awal kurun  ke-20. Tanaman lada hitam juga  banyak ditanam di Sarawak.
Buah Pala dan Cengkih
Pada awal kurun ke-19, kedua-dua tanaman ini ditanam di Pulau Pinang. Pengusaha-pengusaha ladang menanam buah pala dengan luasnya kerana  harganya di pasaran lebih tinggi berbanding bunga cengkih. Bagaimanapun, menjelang pertengahan kurun ke-19, kebanyakan pengusaha  ladang tidak lagi menanam buah pala kerana menghadapi beberapa masalah  seperti :
 Penanaman tanaman ini melibatkan kos buruh yang tinggi.
Tanaman ini seringkali diserang penyakit.
Tanaman ini mengambil masa selama 5 tahun untuk berbuah.
Harga pasarannya tidak tetap.

Kelapa dan Kelapa Sawit

Kelapa sawit mula ditanam di Kuala Selangor pada 1917. Benih kelapa sawit adalah berasal dari Afrika Barat. Kelapa sawit ditanam dengan luasnya di Johor, Perak dan Selangor. Johor merupakan pengeksport utama minyak kelapa sawit di Tanah Melayu pada akhir 1920-an.
Pada 1933, Oil Palms Of Malaya Ltd  membuka sebuah kilang memproses  minyak kelapa sawit di Layang-Layang, Johor. Minyak kelapa sawit ini dieksport terutamanya ke Britain dan Kanada. Ia digunakan untuk membuat sabun , marjerin, lilin dan minyak masak.
Kelapa ditanam oleh pekebun-pekebun kecil dan dieksport dalam bentuk kelapa kering atau kopra. Pada tahun 1930, sebanyak 9,000 tan minyak kelapa dieksport dan jumlah ini  meningkat tiga kali ganda pada tahun  1935.

Pembalakan di Sabah

Perusahaan kayu balak mula berkembang dengan pesat di Sabah pada tahun 1960-an. Sabah menjadi pengeksport kayu balak yang utama di Malaysia. Jenis-jenis kayu balak yang dihasilkan adalah seperti ramin, kapur, merbau,  keruing, selangan batu, seraya putih dan seraya merah.
Balak-balak dihanyutkan ke pelabuhan-pelabuhan seperti Sandakan dan Tawau  melalui Sungai Sugut, Segama dan Kinabatangan. Perusahaan kayu balak dikuasai oleh syarikat-syarikat British dan Cina. Jabatan Perhutanan yang ditubuhkan pada 1913 mengawal dan mengatasi  penebangan pokok-pokok hutan.
Kayu balak mendatangkan pertukaran wang asing yang banyak. Pada 1968, kira- kira 75% daripada jumlah eksport Sabah adalah kayu balak. Kayu balak dieksport terutamanya ke Hong Kong, Jepun, Australia dan Britain. Ia  dieksport dalam bentuk papan lapis, kayu gergaji dan venir. Sandakan merupakan pelabuhan utama bagi  mengeksport kayu balak di Sabah.

Pembalakan di Sarawak


Kayu balak adalah bahan eksport Sarawak yang kedua penting selepas petroleum. Hutan paya mengeluarkan ramin dan jongkong. Hutan Khatulistiwa menghasilkan  pokok kayu keras seperti kapur, cengal, merbau dan meranti. Jabatan Perhutanan ditubuhkan pada 1919. Ia mengawal penebangan pokok- pokok di dalam hutan. Perusahaan kayu balak dikuasai oleh orang Cina.. Sungai-sungai yang penting untuk pengangkutan  kayu balak adalah Sungai  Rajang, Sungai Baram dan Sungai Lupar.

Tebu

Sebelum 1800, tebu ditanam di Batu Kawan, Seberang Perai. Penanaman tebu mula mendapat sambutan di kalangan peladang-peladang  apabila berlaku kemerosotan dalam penanaman lada hitam dan buah pala. Kawasan utama penanaman tebu tertumpu di bahagian selatan Seberang Perai. Selepas 1874, tanaman ini diusahakan dengan meluas di Perak.

Nanas

Kawasan penanaman nanas terletak di Selangor dan Johor. Di sini, kilang-kilang  mengetin nanas didirikan. Perkembangan penanaman nanas pada pertengahan 1920-an terhalang akibat  persaingan dengan perusahaan getah.

Teh

Kawasan penanaman teh yang utama ialah Tanah Tinggi Cameron. Penanaman teh di tempat ini diuruskan oleh Syarikat Boh Valley Plantation  Limited. Teh yang ditanam adalah jenis Teh Ceylon yang mempunyai gred tinggi. Ia menjadi satu bahan eksport yang penting pada 1930-an.

Tembakau

Pekebun-pekebun kecil menanam tembakau apabila harga getah dan kelapa  merosot. Pada 1930-an, tembakau ditanam di Pahang.

Kemajuan Perlombongan

Kekayaan hasil bumi di Tanah Melayu menjadi tarikan dagangan  kepada pedagang-pedagang asing. Sementara itu, kuasa-kuasa Barat  berlumba-lumba untuk  menguasai  Negeri-negeri Melayu semata-mata untuk  mengeksploitasikan hasil bumi dari negara ini untuk kepentingan perdagangan mereka di Eropah.
Kemunculan perusahaan perlombongan sebagai  sumber  ekonomi  membawa kemakmuran kepada negeri-negeri Melayu pada kurun ke-20. Antara hasil perlombongan utama di Tanah Melayu ialah bijih timah. Di samping itu, ada juga hasil galian-galian lain  yang menjadi penyumbang kepada sumber ekonomi .
Kepesatan aktiviti perlombongan terutamanya bijih timah memberi kesan yang besar kepada  pola kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Negeri-negeri di Kepulauan Borneo seperti Sabah dan Sarawak  turut diminati kerana kekayaan hasil galiannya.
Perlombongan Galian-galian Lain
Selain bijih timah, Tanah Melayu juga mempunyai beberapa jenis galian lain yang dilombong sejak tahun 1920-an. Antara galian-galian tersebut adalah

Emas   -             Raub (Pahang), Batang Padang ( Perak)
Arang Batu    -   Batu Arang  ( Selangor )
Bijih Besi   -      Temangan - ( Kelantan ), Bukit Besi -(Terengganu), Endau ( Johor ).
Mangan   -        Machang  ( Kelantan ),  Gual Periok (  Kelantan ).
Bauksit   -         Bukit Pasir ( Johor )
Llmanit   -          Batang Padang ( Perak )

Di antara galian-galian lain di Tanah Melayu

Pada tahun 1921, Syarikat Ishihara Sangya mula melombong bijih besi di Johor. Jepun merupakan negara pembeli utama bijih besi yang dikeluarkan oleh Tanah Melayu. Perlombongan bauksit yang terawal dijalankan di Bukit Pasir (berhampiran Batu Pahat) pada 1836.
Kemudian dua buah lombong bauksit dibuka di Perigi Acheh dan Sri Medan. Kedua-dua lombong ini ditutup pada 1941.  Sebuah lombong bauksit dibuka di Teluk Rumania dan ia mengeluarkan hasil sehingga hari ini. Kebanyakan bauksit dieksport ke Jepun. Bauksit digunakan untuk menghasilkan aluminium.

Kesan-kesan Perkembangan Perusahaan Bijih Timah


Politik
Perkembangan perusahaan timah menjadi pendorong utama kepada dasar campur tangan British di negeri-negeri Melayu. British ingin menguasai kekayaan hasil bijih timah di Tanah Melayu. Perluasan pengaruh British di negeri-negeri Melayu telah mengancam institusi pentadbiran tradisional. Sultan dan pembesar-pembesar Melayu mengalami kehilangan kuasa.

Sosial


Taraf hidup penduduk semakin  meningkat. Kerajaan dapat menyediakan lebih banyak kemudahan sosial seperti sekolah, klinik dan hospital. Penghijrahan orang Cina secara besar-besaran pada pertengahan kurun ke-19 menambahkan bilangan penduduk Tanah Melayu.
Sebuah masyarakat majmuk wujud kerana orang Cina dan orang India yang  berhijrah ke Tanah Melayu untuk bekerja telah menetap di sini.  Sistem pengangkutan dan perhubungan dapat dimajukan. Lebih banyak jalan raya dan jalan kereta api dibina untuk memudahkan pengangkutan hasil bijih timah  dari lombong ke pelabuhan. Kemunculan Bandar-bandar Baru
Perkembangan perusahaan perlombongan  telah menambahkan bilangan penduduk  akibat dari penghijrahan masuk kaum Cina ke kawasan perlombongan. Dengan penghijrahan itu maka wujudlah bandar-bandar baru  seperti Taiping, Ipoh, Kuala Lumpur  dan Seremban. Bandar-bandar ini kemudiannya berkembang menjadi pusat-pusat pentadbiran yang penting di Tanah Melayu.  Kemunculan bandar-bandar ini juga telah mewujudkan lebih banyak peluang  pekerjaan.

Perlombongan di Sabah

Kegiatan perlombongan kurang penting di Sabah kerana ia tidak kaya dengan bahan galian dan kawasan-kawasan yang mangandungi galian terletak jauh ke pedalaman. Antara galian-galian yang dilombong di Sabah ialah Tembaga di Mamut, Arang batu di Labuan dan Tawau, Mangan di Taritipan di Teluk Marudu dan  Petroleum. Antara tahun 1909 hingga 1912, British Borneo Petroleum Syndicate menjalankan penggerudian secara intensif untuk mencari gali minyak di sepanjang Pantai Barat Sabah. Pengeluaran petroleum secara komensil hanya bermula pada tahun 1971. Syarikat-syarikat yang menjalankan perlombongan petroleum di Sabah adalah seperti  Exxon, Sabah Shell dan PETRONAS. Minyak dijumpai di Tembungo (berhampiran Kota Kinabalu) dan Semarang pada awal 1970-an.

Perlombongan di Sarawak


Perlombongan antimoni dan emas menyumbangkan kekayaan kepada negeri Sarawak. Orang Bidayuh diupah oleh James Brooke untuk mengerjakan lombong-lombong antimoni dan emas. Antimoni memainkan peranan yang penting dalam kemajuan ekonomi Sarawak sehingga tahun 1870-an.
Selepas itu, lombong-lombongnya terpaksa ditutup kerana hasil yang kurang memuaskan. Perlombongan emas dijalankan di Bau oleh orang Cina. Pelombong Cina menggunakan kaedah seperti mendulang dan memalung untuk melombong emas. Pada tahun 1857, orang Cina di Bau memberontak terhadap kerajaan Brooke. Apabila pemberontakan mereka gagal, pelombong-pelombong Cina ini melarikan diri ke Sambas. Oleh itu, lombong emas terpaksa ditutup.
Petroleum menggantikan emas sebagai bahan eksport galian yang utama pada tahun 1920. Usaha untuk mencari gali minyak di Sarawak dimulakan pada akhir kurun ke-19. Pengeluaran petroleum dibolot oleh orang Barat. Syarikat-syarikat yang terlibat  dalam pengeluaran petroleum adalah seperti :
·        Syarikat Borneo.
·        Syarikat Petroleum Anglo-Saxon.
·        Kumpulan Royal Dutch Shell.
 "The Sarawak Oil Company" ditubuhkan pada 1909 untuk  memajukan industri  petroleum di Sarawak. Telaga minyak yang pertama digerudi adalah di Miri pada tahun 1910. Ia merupakan  kawasan pengeluaran petroleum yang terpenting.
Perlombongan petroleum di Miri dijalankan oleh "Sarawak Oilfields Ltd.", sebuah syarikat kepunyaan Shell. Kilang menapis minyak didirikan di Lutong pada 1917. Petroleum memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi Sarawak.

Perlombongan Bijih Timah pada Kurun Ke-20

Pelombong Cina menguasai perusahaan timah sehingga tahun 1920-an.  Pada awal kurun ke-20, pelabur Eropah memainkan peranan yang penting dalam  perusahaan timah. Kapal korek mula diperkenalkan di Batu Gajah oleh Syarikat Malayan Tin  Dredging pada tahun 1912. Kapal korek yang pertama di Selangor dipasang pada tahun 1918.  Syarikat Gopeng Consolidated Tin Co. Ltd. diasaskan pada tahun 1912 dan mula  menggunakan kapal korek pada lewat 1920-an.  Kapal korek merupakan satu alat perlombongan yang amat berkesan. Ia membolehkan syarikat Eropah mengeluarkan hasil yang lebih banyak daripada syarikat yang dimiliki oleh orang Cina.
Terdapat kira-kira 20 buah kapal korek pada tahun 1920. Penggunaannya bertambah  kepada 107 buah pada tahun 1939.  Kira-kira 2/3 daripada pengeluar timah Tanah Melayu dihasilkan oleh pelombong  Eropah. Ini bermakna perusahaan bijih timah dikuasai oleh pengusaha Eropah.

Perkembangan  Perusahaan Bijih Timah


Kedatangan orang Cina  melabur dan menyediakan bekalan tenaga buruh di lombong-lombong bijih timah menggalakkan kegiatan perlombongan. Perusahaan ini  berkembang dengan begitu pesat disebabkan faktor-faktor berikut:
Kemajuan teknik pengeluaran bijih timah seperti  penggunaan kapal korek meningkatkan pengeluaran.
Wujudnya keamanan dan kerajaan yang stabil di bawah pentadbiran British.
Perang saudara dan kegiatan kongsi gelap Cina dapat ditamatkan.

Perkembangan permintaan untuk bijih timah akibat Revolusi Perindustrian di Eropah.

Perkembangan dan kemerosotan perusahaan bijih timah amat bergantung kepada  harga pasarannya. Harga bijih timah tidak stabil dan sentiasa turun naik. Harga timah jatuh ke paras yang paling rendah pada Zaman Kemelesetan Dunia (1929 - 1932). Kejatuhan harga komoditi ini menjejaskan semua negara pengeluar timah. Oleh itu, negara-negara pengeluar utama seperti Nigeria, Tanah Melayu, Bolivia  dan Hindia Timur Belanda bersepakat menubuhkan Badan Bijih Timah  Antarabangsa (International Tin Committee) pada 1931. Badan ini mengadakan satu rancangan untuk mengehadkan pengeluaran  timah iaitu  Rancangan Kawalan Bijih Timah.
Rancangan ini tidak berjaya kerana Siam dan  Indo-China enggan menyertainya. Tanah Melayu yang menyertai rancangan ini mengehadkan pengeluaran timahnya. Ini menyebabkan ramai pelombong menganggur. Kerajaan terpaksa menghantar  penganggur-penganggur itu pulang ke negara asal mereka.  Perusahaan bijih timah semakin merosot pada zaman pendudukan Jepun (1942- 1945). Ini adalah kerana :
Lombong-lombong dan peralatan melombong seperti kapal korek  dimusnahkan.
Hasil timah tidak dapat dieksport ke luar negeri.
Permintaan untuk bijih timah merosot kerana berlakunya Perang Dunia  Kedua.
Keadaan bertambah baik selepas Perang Dunia Kedua tamat pada 1945. Namun, harga timah  masih turun naik akibat permintaan yang tidak tetap.

Pengeluaran Bijih Timah di Tanah Melayu ( 1851 - 1945 )

Pada 1956, negara-negara pengeluar timah menandatangani satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Timah Antarabangsa. Perjanjian Timah Antarabangsa bertujuan untuk mengawal harga dan mengehadkan pengeluaran bijih timah.
 Perubahan dalam Sistem Perhubungan dan Infrastruktur
Terdapat pelbagai perubahan yang dialami oleh negara kita kesan daripada kemajuan ekonomi. Kemudahan-kemudahan asas yang lebih baik dapat disediakan oleh pihak kerajaan  dengan menggunakan pendapatan yang diperolehi daripada kegiatan perlombongan bijih timah dan penanaman getah. Di kawasan-kawasan bandar pula, bilangan penduduk telah meningkat kesan daripada kemasukan tenaga buruh secara terancang. Selain itu, perubahan juga berlaku dalam bidang sosial serta pentadbiran kerajaan.

Perubahan Sistem Pengangkutan Kereta Api

Pengangkutan kereta api diperkenalkan di Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19. Tujuannya adalah untuk mempercepatkan pengangkutan bijih timah dari kawasan  lombong ke pelabuhan-pelabuhan di sepanjang pantai. Tokoh yang bertanggungjawab ke atas pembinaan jalan kereta api yang pertama ialah Sir Hugh Low, Residen Perak yang kedua. Di Selangor, Frank Swettenham membina sebuah landasan kereta api dari Kuala Lumpur ke Bukit Kuda berhampiran dengan Kuala Klang. Stesen kereta api tetap yang pertama dibina di Kuala Lumpur pada tahun 1892. Sebelum 1908, landasan kereta api dari Seremban ke Port Dickson dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta.
Kemudiannya, landasan itu menjadi milik kerajaan negeri-negeri Melayu apabila ia dibeli daripada syarikat tersebut. Pembinaan jalan kereta api yang menghubungkan negeri-negeri hanya dimulakan selepas pembentukan Persekutuan pada tahun 1896.
Menjelang 1941, satu sistem jalan kereta api yang lengkap dibina di Tanah Melayu. Hanya Terengganu sahaja yang tidak mempunyai sistem perkhidmatan kereta api.  Tambak Johor yang siap dibina pada tahun 1923 merentasi Selat Tebrau untuk menghubungkan Tanah Melayu dengan Singapura. Tahun Perkembangan Pembinaan Jalan Keretapi Api

1885   -   Taiping ke Port Weld ( Kuala Sepetang ) 
1886   -   Kuala Lumpur ke Bukit Kuda 
1887   -   Kuala Lumpur ke Pelabuhan Swettenham  ( Pelabuhan Klang ) 
1888   -   Seremban ke Port Dickson 
1893   -   Tapah ke Teluk Anson ( Teluk Intan ) 
1895   -   Tapah ke Ipoh 
1909   -   Seberang Perai ke Johor Bahru 
1918   -   Perai, Bukit Mertajam, Sungai Patani, Alor Setar dan Padang Besar.
1926   -   Johor Bahru ke Singapura
1931-   Gemas ke Bahau, Mentakab, Kuala Lipis, Gua Musang, Tumpat dan Sungai Golok.

Jalan Raya

Pada awal 1880-an, terdapat rancangan untuk membina jalan raya di Sungai Ujong. Jalan raya ini menghubungkan Melaka dengan Seremban yang menghubungi   kawasan lombong dan ladang.  Pada pertengahan tahun 1880-an, jalan raya dibina di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, iaitu antara Johol dengan Kuala Pilah dan antara Linggi dengan Lubuk Cina.
Jalinan jalan raya bertambah dengan pengenalan kereta bermotor pada tahun 1902.  Jalan-jalan raya yang awal dibina  menghubungkan ladang-ladang getah dengan stesen-stesen kereta api dan pelabuhan-pelabuhan.  Pada kurun ke-20, pembinaan jalan raya dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur.
Tahun Pembinaan Jalan Raya Utama

1899   -   Kuala Lumpur ke Kuantan
1900   -   Kuala Lumpur ke Perai
1928   -     Singapura ke Perlis

Perkembangan sistem jalan raya di Pantai Timur Tanah Melayu tidak sepesat di pantai barat. Jalan raya di Pantai Timur dibangunkan terutamanya selepas tahun 1928. Jalan raya utama melalui Terengganu dan Pahang dan jalan Timur-Barat Tanah Melayu selesai dibina selepas Perang Dunia Kedua.
Kebanyakan jalan raya utama dibina selari dengan landasan kereta api. Dengan pertambahan jalan raya, jumlah kenderaan semakin meningkat antara tahun 1920-an dan 1930-an. Kereta motor merupakan alat pengangkutan darat yang utama. Bas pula digunakan sebagai kenderaan awam dan lori sebagai kenderaan pengangkutan.

Pengangkutan Laut
 
Pada masa dahulu, perahu, sampan dan kapal layar yang kecil menyediakan  perkhidmatan kepada pelabuhan-pelabuhan di sepanjang pantai seperti Muar, Port  Weld, Teluk Anson, Kuala Klang, Melaka dan Port Dickson. Orang Cina giat mengusahakan dan menguasai syarikat-syarikat perkapalan yang  menyediakan perkhidmatan kepada Negeri-negeri Selat, negeri-negeri Melayu  dan Hindia Timur.  Syarikat perkapalan menjalankan perkhidmatan di Pantai Timur seperti di Kuala  Pahang, Kuala Terengganu dan Kuala Kelantan.
Pada tahun 1890, seorang Belanda menubuhkan Straits Steamship Company. Syarikat ini menjadi syarikat terpenting dalam menyediakan perkhidmatan  perkapalan kepada pelabuhan di negeri-negeri Melayu. Perkembangan sistem kereta api antara Seberang Perai ke Johor menyebabkan pelabuhan-pelabuhan tradisional seperti Port Weld dan Teluk Anson merosot. Pada 1900, Pelabuhan Swettenham dibina untuk memberi perkhidmatan kepada  negeri Selangor. Pelabuhan ini disinggahi oleh kapal-kapal laut dan akhirnya ia menjadi salah  sebuah pelabuhan utama di Tanah Melayu.

Perkembangan Dan Kemajuan Infrastruktur

Perusahaan bijih timah dan getah serta perdagangan menyebabkan bilangan kaum  asing bertambah di Tanah Melayu. Dengan pertambahan penduduk, kemudahan yang pelbagai jenis diperkenalkan,  terutamanya di bandar-bandar baru. Bandar-bandar menyediakan peluang-peluang persekolahan dan pekerjaan.  Perkhidmatan awam seperti pos dan telegraf dibekalkan untuk menyenangkan  perhubungan antara bandar-bandar.  Di Selangor, bandar Kuala Lumpur merupakan bandar yang paling banyak  mengalami kemajuan kerana kedudukannya yang strategik di pertemuan Sungai  Gombak dan Sungai Klang.

Kemajuan Kemudahan Asas dan Pentadbiran


Ekonomi Tanah Melayu yang telah mengalami peningkatan dalam sektor pertanian dan perlombongan telah nenaikkan taraf hidup rakyatnya.  Hasil daripada perkembangan tersebut juga turut mempengaruhi dan memberi perubahan kepada cara hidup rakyat:  Antara perubahan tersebut: 
·    Perubahan dan kemajuan kemudahan asas.      
·    Kemasukan buruh yang terancang
·    Pertumbuhan bandar-bandar baru di Tanah Melayu
·    Perubahan dalam sistem pentadbiran
·    Kemajuan Kemudahan Asas

Pembukaan kawasan hutan, penempatan baru dan kepesatan penduduk turut  membawa masalah-masalahnya yang tersendiri. Antara masalah yang dihidapi ialah serangan penyakit-penyakit seperti taun,  malaria, beri-beri, cacar dan demam panas. Sebagai langkah untuk mengatasi masalah seperti ini, kerajaan telah membina  hospital-hospital, pusat perubatan dan pusat penyelidikan penyakit. Pada tahun 1878, sebuah hospital telah didirikan di Taiping dan pada  tahun 1889,  hospital kerajaan didirikan di Kuala Lumpur. Untuk menyelenggara dan memastikan kebersihan bandar, kerajaan telah  menubuhkan Majlis Kesihatan mulai tahun 1890-an.
Pertambahan penduduk juga meningkatkan permintaan terhadap beras sebagai  makanan utama rakyat negara ini. Oleh itu, terusan-terusan dan tali air dibina untuk mengairi kawasan sawah padi  dan seterusnya akan meningkatkan pengeluaran beras.
Pada tahun 1895, Terusan Wan Mat Saman telah siap dibina. Terusan sepanjang 35 km itu bermula dari Alor Setar hingga ke Gurun. Pada tahun 1931, kerajaan menubuhkan Jabatan Parit dan Tali Air yang antara  lain dipertanggungjawabkan untuk membuka kawasan baru penanaman padi dan memajukan tanaman tersebut.
Kemajuan ekonomi juga membawa kepada pengenalan penggunaan elektrik. Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang dibekalkan dengan tenaga elektrik  pada tahun 1904. Kuala Lumpur menerima bekalan elektrik pada tahun 1905. Untuk menambahkan bekalan tenaga elektrik, empangan hidro elektrik dibina di  Malim Nawar pada tahun 1928 dan di Chenderoh pada tahun 1929.

Kemasukan Tenaga Buruh yang Terancang

 

Kemasukan Tenaga Buruh India


Kemasukan tenaga buruh secara beramai-ramai ke negara kita berlaku kesan  daripada perkembangan perusahaan bijih timah dan getah. Semenjak awal kurun ke-19, buruh-buruh dari India Selatan dibawa masuk ke  Negeri-negeri Selat.
Buruh-buruh India ini dibawa masuk secara kontrak dan dihantar untuk bekerja di  ladang-ladang kelapa, tebu dan kopi di Seberang Perai serta Melaka. Selain secara kontrak, terdapat juga antara mereka yang datang secara  persendirian dan berkhidmat di jabatan-jabatan kerajaan, pelabuhan, ladang- ladang ataupun menjalankan kerja sendirian.
Ketika perusahaan getah berkembang pesat pada awal kurun ke-20, buruh-buruh  dari India yang paling ramai dibawa masuk ke Tanah Melayu. Kemasukan mereka ini diusahakan secara terancang oleh kerajaan British melalui  Sistem Kangani.
Buruh-buruh Cina pula dibawa masuk untuk bekerja di lombong-lombong bijih  timah di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Secara umumnya, kedatangan buruh-buruh Cina adalah secara kontrak tetapi ada  juga yang datang secara persendirian.

Di Sabah, kemasukan buruh-buruh Cina ini dilakukan oleh Syarikat Berpiagam  Borneo Utara untuk bekerja di ladang-ladang tembakau. Di Sarawak pula, kerajaan Brooke membawa masuk buruh-buruh asing untuk  bekerja di ladang lada hitam dan lombong-lombong emas.
Kemasukan buruh-buruh telah menyebabkan berlakunya pertambahan penduduk  secara pesat. Banyak petempatan baru yang dibuka terutamanya di kawasan- kawasan perlombongan bijih timah. Kawasan petempatan ini seterusnya berkembang dan menjadi bandar. Di Sabah pula muncul bandar-bandar seperti Sandakan, Lahad Datu dan Tawau  kesan daripada perusahaan tembakau dan pembalakan yang dijalankan di tempat-tempat tersebut. Di Sarawak, bandar Kuching berkembang kesan daripada fungsinya sebagai  pelabuhan utama untuk mengeksport hasil-hasil bumi Sarawak.
Bandar Miri mengalami perkembangan kerana perusahaan perlombongan minyak. Kesan daripada kemasukan buruh-buruh India dan Cina secara beramai-ramai ini  telah mewujudkan petempatan baru yang bercirikan kaum. Buruh-buruh India biasanya tinggal di kawasan ladang getah dan ladang kelapa. Orang-orang Cina pula tinggal di kawasan-kawasan lombong dan bandar.
Penduduk tempatan menduduki pesisiran pantai, kampung dan pendalaman yang menjalankan kegiatan pertanian serta menangkap ikan. Akibatnya, wujudlah masyarakat majmuk iaitu masyarakat negara kita hidup secara berkelompok dan terasing antara satu sama lain dari segi bahasa,  kebudayaan, agama, pekerjaan dan tempat tinggal.

Pertumbuhan Bandar-bandar di Tanah Melayu

Penduduk Tanah Melayu selalu mendirikan petempatan mereka di kawasan  pantai atau tebing sungai. Petempatan-petempatan ini akhirnya berkembang menjadi bandar-bandar tertua  di Malaysia. Petempatan di muara sungai dan kawasan pantai mempunyai banyak kelebihan dari segi keselamatan, kemudahan pengangkutan  dan  pelabuhan. Petempatan-petempatan ini kemudiannya bertambah maju dan mencapai taraf  bandar. Bandar-bandar tersebut biasanya mempunyai beberapa fungsi, seperti  pusat perniagaan , pusat pentadbiran dan tempat kediaman diraja.
Pertumbuhan bandar di Tanah Melayu berlaku selepas kemasukan British dan kedatangan orang Cina, India dan orang asing yang lain. Bandar-bandar baru yang berkembang kesan daripada faktor kegiatan perlombongan bijih timah ialah Ipoh, Seremban, Lukut, Kampar, Kuala Lumpur dan Rawang
Terdapat juga bandar-bandar baru yang dibina di atas tapak bandar yang lama.  Contohnya Teluk Anson, Klang dan Kota Bharu. Hampir kesemua bandar di atas muncul kerana kegiatan perdagangan. Tempat-tempat ini juga merupakan kawasan strategik dan menjadi pelabuhan penting.
     Perusahaan getah juga memberi kesan kepada pertumbuhan bandar. Kawasan-kawasan di sekitar bandar yang berkembang akibat bijih timah, ditanam  dengan pokok-pokok getah. Banyak estet getah telah dibuka di sana. Apabila perlombongan bijih timah merosot,  perusahaan getah menggantikannya sebagai kegiatan ekonomi yang utama, seperti yang berlaku di Teluk Anson dan Taiping. Industri kelapa sawit juga mendorong pembinaan jalan raya.
Pada awal kurun ke-20, bandar-bandar yang berkembang pesat merupakan pusat- pusat pentadbiran, contohnya Kuala Lumpur. Peranan Klang sebagai pusat pertanian berterusan pada kurun ke-20. Pelabuhan Swettenham mengendalikan urusan eksport dan import bagi Selangor.
Menjelang kurun ke-20, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh menjadi pusat  perdagangan, kebudayaan, pendidikan, agama dan sebagainya. Proses urbanisasi membawa kemajuan dari segi perhubungan, iaitu: Akhbar-akhbar dalam pelbagai bahasa diterbitkan. Siaran radio dimulakan.
Lapangan terbang dibina di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk mengadakan perkhidmatan penerbangan antarabangsa.
Penduduk di bandar terdiri daripada pelbagai kaum. Walau bagaimanapun, tiap-tiap kaum biasanya tinggal berkumpulan dan di tempat-tempat tertentu berdasarkan kegiatan ekonomi dan pekerjaan..
     Orang Melayu tinggal di kawasan kampung-kampung mengerjakan aktiviti pertanian, orang Cina pula tinggal di kawasan pusat bandar menjalankan aktiviti perniagaan manakala orang India tinggal di ladang-ladang getah.  Pembahagian kaum yang berdasarkan pekerjaan dan tempat tinggal menyebabkan  hubungan antara kaum-kaum ini lebih berjauhan antara satu sama lain.
Di Malaysia Timur, petempatan-petempatan awal terletak di muara sungai dan  pinggir pantai. Petempatan-petempatan ini kemudiannya berkembang dan menjadi bandar-bandar seperti Kudat, Sandakan dan Jesselton di Sabah serta Kuching, Miri dan  Sibu di Sarawak. Pada tahun 1881, Kompeni Berpiagam Borneo Utara menjadikan Kudat sebagai pusat  pentadbirannya.
Oleh sebab kedudukan Kudat tidak sesuai, maka pada tahun 1884, Kompeni  Berpiagam Borneo Utara memindahkan pusat pentadbirannya ke Sandakan. Sandakan diasaskan pada tahun 1879 oleh William Pryer iaitu Residen British yang pertama. Sandakan terletak di jalan perdagangan antarabangsa dan kawasan sekelilingnya  kaya dengan hasil-hasil hutan dan laut.
Kedudukan Sandakan menarik ramai orang Suluk, Cina dan India untuk menetap  di sana. Kemudahan seperti sekolah, jalan raya dan perkhidmatan telefon disediakan di  bandar itu. Selain perdagangan, perusahaan kayu balak juga memajukan Sandakan pada  kurun ke-20. Jesselton diasaskan pada 1900 untuk menggantikan pelabuhan Kompeni  Berpiagam Borneo Utara di Pulau Gaya yang ditawan oleh Mat Salleh. Faktor yang meyebabkan Jesselton maju ialah perkembangan industri getah. Pada 1967, nama Jesselton ditukarkan kepada Kota Kinabalu.
Pertubuhan Bandar-bandar Baru di Sarawak
Bandar Kuching dibina oleh wakil Sultan Brunei, iaitu Pangeran Mahkota pada  1827.  James Brooke menjadikan Kuching sebagai ibu negeri Sarawak.  Pada tahun  1841, bilangan penduduk bertambah dengan kemasukan orang-orang Melayu, Cina dan India. Kemudahan-kemudahan asas seperti perkhidmatan telefon telah  diadakan pada tahun 1900 . Begitu juga dengan  pembinaaan sekolah, hospital dan pejabat pos.
Sibu muncul apabila James Brooke mendirikan sebuah kubu di sana pada tahun 1862. Pada awal kurun ke-20, kerajaan Brooke membina sekolah, hospital dan jalan  raya di Sibu. Miri ialah sebuah bandar yang berkembang selepas petroleum dijumpai di sana  pada tahun 1910.

Perubahan dalam Sistem Pentadbiran


Perkembangan dalam bidang pertanian dan perlombongan telah menyebabkan  banyak tanah baru dibuka. Oleh itu, kerajaan British telah memperkenalkan beberapa dasar yang baru mengenai pemilikan dan penggunaan tanah.
Kerajaan British membenarkan pemilikan tanah secara kekal dan ia juga boleh  dijual serta dipindah milik. Tanah-tanah ladang juga dikenakan cukai yang rendah. Kerajaan British memperkenalkan dasar-dasar baru ini dengan tujuan untuk  menggalakkan pembukaan tanah baru untuk tujuan perlombongan dan  penanaman getah.
Perkembangan ekonomi juga telah membawa kepada penglibatan negara dalam  perdagangan antarabangsa. Antara negara-negara yang mengadakan hubungan perdagangan dengan negara  kita ketika itu ialah Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun.  Sehubungan dengan itu, penggunaan wang diperluaskan untuk memudahkan  urusan perdagangan dalam negeri dan antarabangsa. Bank-bank juga dibuka dengan menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan dan bantuan kewangan.

Perubahan dalam Bidang Pendidikan


Sistem pendidikan di Malaysia bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pendidikan yang diadakan pada masa itu ialah pendidikan agama Islam. Masjid dan surau merupakan tempat pengajian agama Islam.
Pembukaan bandar-bandar baru telah menjadikan bandar-bandar  ini pusat tumpuan kemudahan dan perkhidmatan. Salah satu perkhidmatan yamg membantu perkembangan sosial masyarakat Malaysia ialah sistem pendidikan. Sistem pendidikan pada zaman pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu dapat  dibahagikan kepada lima aliran iaitu sistem pendidikan Melayu tradisional, sistem pendidikan Melayu , pendidikan Inggeris , pendidikan Cina dan  pendidikan Tamil .
Sementara itu  sistem pendidikan di Sabah  dan pendidikan di Sarawak. juga turut diperkenalkan. Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, beberapa buah Maktab Perguruan ditubuhkan untuk menambahkan bilangan guru terlatih.

Pendidikan Melayu

Pada peringkat awal, orang Melayu menerima pendidikan tidak formal serta pengajaran agama dan bahasa Arab. Buku-buku Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sekolah Melayu yang pertama di Tanah Melayu ialah Sekolah Melayu Gelugor.  Sekolah ini dibina pada 1826 di Pulau Pinang.
Ia merupakan salah satu cawangan Sekolah Penang Free.  Selain daripada itu, terdapat dua buah cawangan lagi, iaitu Sekolah Melayu di Bayan Lepas dan Sekolah Melayu di Ayer Hitam. Beberapa buah  sekolah Melayu lagi ditubuhkan pada pertengahan kurun ke-19.
Bilangan sekolah Melayu bertambah setelah pihak British campur tangan di negeri-negeri Melayu pada tahun 1874.  Terdapat kira-kira 190 buah sekolah Melayu di Tanah Melayu pada tahun 1892.  Walaupun demikian, pendaftaran di sekolah-sekolah Melayu masih tidak menggalakkan.
Untuk mengatasi masalah ini, pihak British mengambil beberapa tindakan. Selain daripada mengadakan pelajaran agama Islam pada sebelah petang di semua sekolah Melayu, denda dikenakan ke atas ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Bantuan  dari pembesar-pembesar Melayu didapatkan  untuk menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Langkah-langkah  yang tersebut di atas berjaya menambahkan bilangan murid-murid di sekolah Melayu.  Seramai 8,000 orang  murid menghadiri sekolah Melayu pada 1909. Sehingga awal kurun ke-20, sekolah-sekolah Melayu terhad kepada peringkat sekolah rendah sahaja.  Darjah yang paling tinggi ialah Darjah 5. Masalah-masalah yang dihadapi pada masa itu ialah kekurangan guru-guru terlatih dan kekurangan kemudahan di sekolah-sekolah.  Mata pelajaran dan kandungan pelajaran yang diajar agak terbatas. Pada masa itu kandungan sukatan pelajaran yang sama merupakan perkara yang penting dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Ini adalah untuk mewujudkan semangat kekitaan di kalangan rakyat. Ustaz dan imam yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang Geografi, Sejarah dan Sains menjadi guru di sekolah Melayu.

Penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar

 
     Maktab Melayu Kuala Kangsar ditubuhkan pada 1905. Ia merupakan sebuah sekolah asrama beraliran Inggeris yang dikhaskan untuk anak Melayu, terutamanya daripada golongan diraja, bangsawan dan orang kebanyakan yang berkelayakan. Pelajar-pelajar di maktab ini diwajibkan mempelajari bahasa Melayu. Maktab ini ditubuhkan kerana kerajaan Inggeris ingin menghasilkan golongan pentadbir Melayu yang dapat berkhidmat dalam pentadbiran negeri bersama-sama dengan pegawai British.

Pendidikan Inggeris


Sekolah-sekolah Inggeris adalah yang awal didirikan di Negeri-negeri Selat. Sekolah Penang Free merupakan sekolah Inggeris yang pertama didirikan di Tanah Melayu dan juga di Asia Tenggara.  Sekolah ini didirikan pada 1816.
Sekolah-sekolah Free ialah sekolah-sekolah yang menerima pelajar daripada semua bangsa. Sekolah Penang Free bermula sebagai  sekolah rendah dan ditingkatkan ke peringkat menengah pada 1920-an.
Sekolah Melaka Free dimulakan pada 1826 dan Sekolah Singapura Free pada 1834.  Apabila kerajaan British campur tangan dalam pentadbiran di negeri-negeri Melayu, sekolah-sekolah  aliran Inggeris mula ditubuhkan. Pada 1890, kerajaan British menubuhkan sebuah sekolah khas yang dinamakan Sekolah Raja untuk anak-anak keluarga  diraja dan orang-orang besar Selangor.
     Ia berharap golongan bangsawan  dan Melayu atasan dapat diserapkan ke dalam perkhidmatan awam untuk menjadi pegawai  pentadbir yang lebih cekap. Namun,, Sekolah Raja terpaksa ditutup pada 1894 dan tugasnya diambil alih oleh Victoria Institution. Victoria Institution didirikan pada 1893 di Kuala Lumpur dengan kutipan wang orang ramai.  Ini bermakna bukan semua sekolah Inggeris dibuka dan dibiayai oleh kerajaan sahaja. Terdapat sekolah Inggeris yang dibuka melalui kutipan wang orang ramai dan juga yang dibuka oleh golongan mubaligh Kristian. 

Sekolah-Sekolah Inggeris yang Awal
1816   -   Sekolah Penang Free 
1826   -   Sekolah Melaka Free 
1834   -   Sekolah Singapura Free
1894   -   Victoria Institution di Kuala Lumpur 

Sekolah Mubaligh

Golongan mubaligh Kristian mula-mula sekali melibatkan diri dalam menyediakan pelajaran kepada anak-anak penduduk tempatan sejak zaman Portugis di Melaka lagi. Agama Kristian yang dianuti oleh orang Portugis adalah daripada mazhab Roman Katolik. Golongan Kristian daripada mazhab lain seperti Anglikan , Methodist dan Protestant juga turut mendirikan dan menjayakan sekolah-sekolah Inggeris di Tanah Melayu. Sekolah Anglo-Tamil didirikan oleh golongan Methodist di Kuala Lumpur pada 1897.  Nama sekolah ini kemudiannya  ditukar menjadi Sekolah Laki-laki Methodist.
Sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh golongan Methodist dahulunya dikenali sebagai Sekolah Anglo-Chinese seperti di Kampar, Klang dan Seremban. Sekolah laki-laki yang didirikan oleh golongan mubaligh Kristian lazimnya menggunakan perkataan Saint (St) dan sekolah perempuan biasanya menggunakan perkataan Convent.  Contohnya, Sekolah St. John's, Sekolah St. Paul's, Sekolah St. Michael, Sekolah St. George dan Sekolah St. Anthony.
Bilangan murid Melayu di sekolah Inggeris adalah kurang. Ini disebabkan oleh  ibu bapa Melayu berasa curiga dan takut anak-anak mereka akan  dipengaruhi oleh agama Kristian. Sekolah Mubaligh bertujuan mengembangkan agama Kristian dan ilmu pengetahuan. Sekolah ini mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan British. Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar utama. Murid bukan Islam diwajibkan menghadiri kegiatan yang berkaitan agama Kristian dan kebanyakannya didirikan di kawasan bandar dengan  murid bangsa Melayu  kira-kira 20% sahaja.

Pendidikan Cina


Sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu telah dimulakan pada awal kurun ke-19.  Sekolah-sekolah ini dikelolakan dan dibiayai oleh golongan mubaligh Kristian, persatuan suku (clan association) dan orang perseorangan Cina.
Sebuah sekolah Cina didirikan di Melaka oleh golongan mubaligh pada tahun 1915.  Tokoh-tokoh Cina yang berperanan dalam mendirikan sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu adalah seperti Yap Ah Loy, Phua Choon Hiong dan Cheng Soo Leong.
Sehingga 1911, masalah terbesar dalam pendidikan Cina ialah tidak ada keseragaman  antara sekolah-sekolah Cina kerana setiap sekolah menggunakan dialek Cina yang berlainan sebagai bahasa pengantarnya. Guru-guru yang mengajar berasal dari China dan mereka tidak mempunyai kelulusan yang sama. Selepas tamatnya Revolusi China pada 1911, sekolah Cina di Tanah Melayu mengalami beberapa perubahan. Bahasa Mandarin atau Kuo Yu (bahasa kebangsaan Cina) digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah Cina. Pelajar digalakkan melibatkan diri dalam pergolakan politik yang berlaku di Cina bagi menyemarakkan lagi semangat kebangsaan mereka.
Sebuah sekolah menengah Cina yang pertama ditubuhkan di Singapura pada 1913.  Sebelum Perang Dunia Kedua, sistem persekolahan Cina dibahagikan kepada tiga peringkat:

·        Sekolah rendah selama 6 tahun.
·        Sekolah menengah rendah (Junior Middle) selama 3 tahun.
·        Sekolah menengah atas (Senior Middle) selama 3 tahun.

Pelajar yang lulus sekolah menengah boleh melanjutkan pelajarannya ke peringkat universiti. Tiap-tiap sekolah mempunyai Lembaga Pengelola.  Perbelanjaan untuk mendirikan dan mengendalikan sekolah Cina ditanggung oleh masyarakat Cina. Pada 1930-an, lebih 65% daripada kanak-kanak Cina di Negeri-negeri Melayu Bersekutu belajar di sekolah Cina.

Kawalan ke Atas Sekolah Cina


Perkembangan awal pendidikan Cina di Tanah Melayu adalah terlalu berkiblat kepada China. Guru-guru dan buku-buku dibawa dari China.  Murid-murid diajar mengenai kesusasteraan, sistem politik dan kebudayaan Cina. Kerajaan British hanya mula mengambil langkah untuk mengawal aktiviti-aktiviti sekolah Cina apabila ia diresapi oleh pengaruh komunis.
Kerajaan British meluluskan Enakmen Pendaftaran Sekolah-sekolah pada 1920. Tujuan utama undang-undang ini adalah untuk mengawasi perkembangan sekolah Cina di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Di bawah undang-undang ini, semua sekolah Cina, guru-guru dan pentadbir dikehendaki mendaftar dengan kerajaan. Pegawai-pegawai pelajaran Cina dilantik untuk memeriksa sekolah-sekolah Cina. Selepas 1945, sukatan pelajaran Cina disemak semula. Buku-buku yang berlatarbelakangkan hal ehwal tempatan mula digunakan dan bahasa Inggeris mula diajar di sekolah-sekolah Cina.

Pendidikan Tamil

Sekolah-sekolah Tamil ditubuhkan berikutan penghijrahan masuk ramai orang India dari India Selatan untuk bekerja sebagai buruh di ladang-ladang kopi, tebu, teh dan getah. Sebuah sekolah Tamil dibuka di Pulau Pinang pada 1810-an.  Ia merupakan sebuah cawangan Sekolah Penang Free yang dibuka pada 1816. Sekolah ini tidak maju dan terpaksa ditutup.  Kemudian Sekolah Anglo-Tamil didirikan di Melaka.  Sekolah ini juga tidak berjaya dan terpaksa ditutup. Sekolah-sekolah Tamil dibuka di Seberang Perai dan Melaka pada 1870-an.
Keadaan sekolah-sekolah ini adalah kurang baik kerana kemudahan yang tidak mencukupi. Pada 1912, kerajaan British meluluskan Undang-undang Buruh di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Undang-undang ini mewajibkan pihak majikan di ladang-ladang untuk menyediakan sekolah dan guru jika terdapat 10 orang atau lebih anak-anak pekerja mereka yang berumur antara 7 hingga 14 tahun.
Terdapat juga sekolah-sekolah  Tamil yang dibina di bandar-bandar yang mempunyai ramai penduduk berketurunan India. Pada tahun 1914, Sekolah Vivekananda didirikan di Kuala Lumpur.  Sekolah-sekolah yang ditubuhkan di kawasan bandar dibiayai oleh para dermawan dan persatuan-persatuan India.

Sekolah-sekolah Tamil awal yang didirikan mempunyai beberapa kelemahan iaitu :

  • Semua sekolah Tamil menyediakan pelajaran setakat peringkat rendah sahaja dan  kebanyakan sekolah menyediakan pelajaran sehingga Darjah 4 sahaja.
  • Berbagai-bagai bahasa pengantar digunakan seperti bahasa Tamil, Telegu dan Malayalam.
  • Mata pelajaran yang diajar dan kandungannya sama seperti yang diajar di negara India.
  • Guru-guru yang dibawa dari India adalah tidak terlatih.

Memandangkan keadaan di sekolah Tamil kurang memuaskan, kerajaan British  melantik seorang pegawai nazir sekolah Tamil pada 1930. Tugasnya adalah untuk memperbaiki keadaan di sekolah-sekolah Tamil.  Pada umumnya, masyarakat India  kurang mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Tamil.  Mereka yang berada lebih suka menghantar  anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Inggeris.

Pendidikan di Sabah


Sebelum kedatangan British, masyarakat tempatan memberikan pendidikan tidak formal kepada anak-anak mereka.  Ibu bapa mendidik anak-anak mereka cara bercucuk tanam, memburu binatang, menangkap ikan dan adat resam.
Masyarakat yang beragama Islam menyediakan pendidikan agama untuk anak-anak mereka di surau, madrasah dan sekolah-sekolah pondok. Golongan mubaligh Kristian memainkan peranan yang penting dalam perkembangan sistem pendidikan di Sabah. Sekolah-sekolah awal didirikan oleh mubaligh-mubaligh Kristian daripada mazhab Roman Katholik, Protestant dan Anglikan.
Mubaligh Roman Katholik membina sebuah sekolah di Papar  pada 1881. Mereka juga membina Sekolah Rendah St. Mary di Sandakan pada 1883.  Ia merupakan sekolah yang pertama di Sabah. Mubaligh Protestant pula membina Sekolah Lelaki St. Michael di Sandakan pada 1888. 
Pada 1891, golongan Katholik membina sebuah Sekolah Convent untuk murid perempuan di Sandakan. Sekolah-sekolah mubaligh Kristian ini menerima bantuan daripada kerajaan Sabah. Kebanyakan sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Terdapat juga sekolah-sekolah mubaligh yang menggunakan bahasa Cina dan bahasa Dusun. Antara 1920 hingga 1940, pendidikan dalam negeri disediakan oleh Kerajaan Sabah , badan-badan mubaligh dan agensi persendirian. Sekolah kerajaan yang pertama telah didirikan di Kota Belud pada 1921. Kemudian lebih banyak sekolah kerajaan didirikan dan kesemua sekolah ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pelajaran Melayu hanya diberikan di peringkat sekolah rendah.
Kerajaan juga membina sekolah kerajaan yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantarnya.  Pelajaran Cina juga diberikan di peringkat  sekolah rendah sahaja.  Kebanyakan sekolah swasta atau persendirian adalah sekolah Cina.  Ia tidak mendapat bantuan daripada kerajaan.  Sekolah-sekolah ini dibiayai oleh masyarakat Cina yang kaya.

Pendidikan di Sarawak


Masyarakat Sarawak mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak pada 1839. Suku-suku kaum seperti orang Iban, Kelabit dan Melanau memberi pendidikan tidak rasmi kepada anak-anak mereka.
Kanak-kanak dididik cara-cara bercucuk tanam, memburu dan adat resam. Masyarakat Melayu mendapatkan pendidikan agama di sekolah-sekolah agama. Pada zaman pemerintahan Brooke, sistem pendidikan di Sarawak dikendalikan oleh golongan mubaligh Kristian, Kerajaan Brooke dan masyarakat Cina
Pada tahun 1883, golongan mubaligh Katholik mendirikan sekolah-sekolah di Kuching dan Kanowit.
Mereka yang  daripada golongan Anglikan juga mendirikan sekolah di Kuching dan Sibu. Golongan mubaligh Methodist pula mendirikan sebuah sekolah di Sibu. Kesemua sekolah mubaligh ini menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Brooke dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama.
Sekolah Melayu yang pertama ditubuhkan oleh Raja Charles Brooke (Raja Sarawak yang Kedua) pada 1883 di Kuching.  Sekolah St. Joseph didirikan di Kuching pada 1894. Pada 1903, kerajaan Brooke menubuhkan dua buah sekolah Cina di Kuching.
Sekolah Cina di Sarawak berkembang pesat selepas Revolusi China 1911.  Kebanyakan sekolah Cina dibiayai oleh golongan pedagang Cina yang kaya.  Seperti di Tanah Melayu, sukatan pelajaran dan guru-guru sekolah Cina dibawa dari China.
Raja Sarawak yang ketiga  iaitu Charles Vyner Brooke meneruskan usaha mengembangkan pendidikan di Sarawak. Beliau menubuhkan sekolah-sekolah rendah Melayu. Sekolah-sekolah ini menggunakan buku-buku yang dibawa dari Tanah Melayu. Beberapa orang guru dari Sarawak juga dihantar ke Maktab Perguruan Sultan Idris untuk mendapat latihan.
    Sebuah sekolah untuk kaum Melanau ditubuhkan pada 1917.  Menjelang 1936, terdapat kira-kira 25 buah sekolah kerajaan. Pada 1937, Kerajaan Sarawak membuat satu kajian ke atas pendidikan dalam negeri. Laporannya mencadangkan supaya sekolah-sekolah didirikan untuk kaum-kaum bumiputera  yang lain. Sekolah-sekolah baru ini akan menggunakan bahasa Iban dan Kayan selain daripada bahasa Melayu. Jabatan Pelajaran Sarawak ditubuhkan semula pada 1939. Sebuah Maktab Perguruan Melayu didirikan di Sarawak pada awal 1941

Penubuhan Maktab Perguruan

 

Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, beberapa buah maktab perguruan didirikan. Ia bertujuan untuk menambahkan bilangan guru terlatih.

1878   -   Maktab Perguruan Teluk Belanga di Singapura 
1900   -   Maktab Perguruan Melaka 
1913   -   Maktab Perguruan Perak di Matang 
1922   -   Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim 
1935   -   Maktab Latihan Perguruan Perempuan Melayu Melaka

Maktab-maktab Perguruan

 
Pada 1916, Richard Winstedt dilantik sebagai Penolong Pengarah Pelajaran Aliran Melayu.  Beliau mencadangkan supaya sekolah Melayu memberi perhatian kepada pelajaran perkebunan dan pertukangan tangan. Selain daripada itu, beliau juga mencadangkan supaya tenaga pengajar di maktab perguruan ditambah dan peralatan sekolah yang cukup dibekalkan. Satu cadangan penting Richard Winstedt yang menjadi kenyataan ialah penubuhan sebuah maktab perguruan pusat bagi guru-guru Melayu. Maktab tersebut dibina di Tanjung Malim, Perak pada 1922.  Ia dinamakan Sultan Idris Training College (SUTC), sempena nama Sultan Idris yang sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada pendidikan Melayu.
Selepas merdeka, maktab ini dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Tujuan penubuhan maktab ini ialah untuk menggantikan maktab-maktab perguruan di Matang dan Melaka dan  melatih guru-guru bagi memenuhi keperluan seluruh Tanah Melayu. Maktab Perguruan Sultan Idris juga menerima pelajar dari Sarawak dan Brunei.  Antara pensyarah MPSI yang terkenal ialah Cikgu Buyong bin Adil dan Cikgu Abdul Hadi bin Haji Hassan. Maktab Perguruan Sultan Idris pada masa sekarang dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI).

Pelajar Melayu di Sekolah Inggeris

 

Dua peperiksaan  penting yang diadakan di sekolah menengah Inggeris sebelum Perang Dunia Kedua iaitu Junior Cambridge dan Senior Cambridge. Sehingga 1920-an, orang Melayu yang berkelulusan Junior Cambridge sudah boleh menjadi pentadbir.
 Pelajar-pelajar aliran Inggeris mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding dengan pelajar-pelajar daripada sekolah bukan aliran Inggeris. Ini kerana pelajaran Inggeris sahaja yang boleh menjamin kedudukan ekonomi mereka. Gaji guru sekolah Inggeris jauh lebih tinggi daripada gaji lulusan sekolah Melayu . Walaupun demikian, kerajaan British mengawal pertambahan sekolah dan murid aliran Inggeris dengan rapi. Mereka tidak mahu memberi pelajaran Inggeris secara meluas, terutamanya kepada orang Melayu. Pada 1930-an, jumlah murid Melayu di sekolah Inggeris hanya 16% sahaja. British tidak menggalakkan pendidikan tinggi kepada orang Melayu kerana bimbang mereka akan menuntut  jawatan yang tinggi dan bagi yang berpendidikan pula akan  memberontak dan menentang penjajah British.
Sebelum Perang Dunia Kedua, ibu bapa Melayu tidak berminat untuk menghantar anak perempuan mereka ke sekolah Inggeris disebabkan cara hidup dan faktor budaya. Walaupun sikap ini berkurangan pada akhir 1930-an, tetapi bilangan murid perempuan Melayu di sekolah Inggeris masih kurang.

Pelajaran Vokasional dan Teknik


     Pelajaran vokasional dan teknik berkembang pesat selepas kedatangan British terutamanya pada kurun ke-20. Orang Melayu yang mahir dalam seni pertukangan diambil untuk mengajar murid-murid sekolah Melayu di sebuah perkampungan dekat Kuala Lumpur. 
Kerajaan Perak telah menubuhkan Sekolah Seni Tanah Melayu pada tahun 1902.  Sekolah ini ditutup pada 1906. Sekolah pertukangan yang pertama didirikan di Kuala Lumpur. Sekolah ini dinamakan Sekolah Pertukangan Persekutuan. Kemudian sekolah-sekolah pertukangan didirikan di Perak (1926), Johor Bharu (1930), Negeri Sembilan (1930), Pulau Pinang (1932) dan Melaka (1935). Sekolah-sekolah ini memberi peluang kepada pelajar untuk meluaskan ilmu pengetahuan dan menyediakan mereka untuk alam pekerjaan. Pada 1918, sebuah Suruhanjaya Pendidikan Teknik dan Industri ditubuhkan.  Ia mengkaji keperluan pelajaran vokasional dan teknik di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Suruhanjaya ini mencadangkan penubuhan sebuah sekolah pertanian dan sebuah sekolah teknik.

1923   -   Pusat Latihan Pertanian
1926   -   Sekolah Teknik di Kuala Lumpur 
1931   -   Sekolah Pertanian di Serdang,. Selangor 
1944   -   Maktab Teknik di Kuala Lumpur 
1972   -   Universiti Teknologi Malaysia di Kuala Lumpur 

Di sekolah-sekolah vokasional, pelajar diajar mata-mata pelajaran seperti kerja kayu, kerja logam, perdagangan, pertanian dan sains rumah tangga. Sekolah-sekolah teknik pula menyediakan mata pelajaran seperti pembinaan, ukur tanah, kejuruteraan, pertanian dan perdagangan.

Pelajaran Tinggi

 

Pada tahun 1880-an, terdapat desakan daripada penduduk tempatan supaya ditubuhkan sebuah pusat pengajian perubatan bagi melatih doktor-doktor dan pakar perubatan yang lain. Ini kerana terdapat beberapa orang pakar perubatan Eropah sahaja di Tanah Melayu dan mereka tidak dapat menyediakan kemudahan perubatan kepada penduduk tempatan yang sebegitu ramai.
Oleh itu, pada 1905  kerajaan British mendirikan sebuah pusat pengajian perubatan di Singapura dan ia dinamakan Sekolah Perubatan King Edward VII. Nama sekolah ini ditukar kepada Kolej Perubatan King Edward VII pada 1920.