Pages

Monday 24 October 2011

Tingkatan 2 Bab 2

Campurtangan British Di Perak, Selangor, N. Sembilan Dan Pahang


Objektif
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran bab ini,
anda seharusnya dapat:
Menerangkan hubungan Negeri-negeri Selat dengan negeri-negeri Melayu sebelum British campur tangan.
Menerangkan sebab campur tangan British di Negeri-negeri Melayu.
Menghuraikan proses campur tangan British di Negeri-negeri Melayu.
Menyatakan sebab-sebab ditubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Merumuskan kesan campur tangan British di Negeri-negeri Melayu.
Menyenaraikan sikap dan nilai yang perlu ada pada seseorang bagi menjaga hak dan kepentingan.
 Kawasan Perlombongan Bijih Timah
 
Bijih timah di Tanah Melayu merupakan  barang dagangan utama yang sangat diminati oleh pedagang India, Arab dan China. Kemunculan Melaka pada kurun ke-15, adalah sebagai  pelabuhan penting bagi mengeksport hasil  bijih timah. Semasa Belanda menduduki Melaka, mereka cuba memonopoli bijih timah dari  negeri-negeri Melayu.  Selepas 1824, Belanda berundur dari Melaka. Dengan itu, perlombongan bijih timah diusahakan dengan lebih giat.

Setelah berjaya menguasai Pulau Pinang, Melaka dan Singapura serta menubuhkan Negeri-negeri Selat, British berhasrat untuk menguasai negeri-negeri Melayu lain bagi mendapatkan kekayaan hasil buminya. Kekayaan sumber ekonomi khususnya bijih timah inilah yang mendorong pedagang asing untuk mengaut keuntungan dari negeri-negeri tersebut.

 Kawasan Perlombongan Bijih Timah
 
Bijih timah di Tanah Melayu merupakan  barang dagangan utama yang sangat diminati oleh pedagang India, Arab dan China. Kemunculan Melaka pada kurun ke-15, adalah sebagai  pelabuhan penting bagi mengeksport hasil  bijih timah. Semasa Belanda menduduki Melaka, mereka cuba memonopoli bijih timah dari  negeri-negeri Melayu.  Selepas 1824, Belanda berundur dari Melaka. Dengan itu, perlombongan bijih timah diusahakan dengan lebih giat.

Setelah berjaya menguasai Pulau Pinang, Melaka dan Singapura serta menubuhkan Negeri-negeri Selat, British berhasrat untuk menguasai negeri-negeri Melayu lain bagi mendapatkan kekayaan hasil buminya. Kekayaan sumber ekonomi khususnya bijih timah inilah yang mendorong pedagang asing untuk mengaut keuntungan dari negeri-negeri tersebut.

Sumber Ekonomi di Perak

Pada 1848, Long Jaafar telah mengusahakan  perlombongan bijih timah di Larut. Beliau berasal daripada  keluarga Orang Besar Enam Belas, Perak.  Long Jaafar membuka lombong bijih timah di Kelian Pauh (Taiping) dan  Kelian Baru (Kamunting). Beliau membawa masuk pelombong-pelombong Cina dari Pulau Pinang untuk bekerja di situ. Seorang ketua orang Cina, Chung Keng Kwee dilantik menjadi Kapitan Cina di Larut, pada 1870-an.
Kegiatan melombong yang semakin berkembang di Larut telah meningkatkan perdagangan antara Pulau Pinang dan Perak. Bagaimanapun, rusuhan yang beberapa kali berlaku di kalangan pekerja Cina telah menggugat kegiatan perlombongan. Sebanyak 3 kali rusuhan atau Perang Larut berlaku di antara tahun 1861-1872 yang melibatkan puak Ghee Hin dan Hai San.
                                                                       
Pada  1828, buruh Cina sudah mula bekerja di lombong-lombong di Sungai Ujong. Pada 1850-an, ia berkembang sebagai satu kawasan perlombongan bijih timah yang maju. Eksport bijih timah dari Sungai Ujong ke Negeri-negeri Selat meningkat dari 7,000 pikul (1920-an) kepada 20,000 pikul  (1930-an). Dato' Bandar Kulop Tunggal merupakan pembesar tempatan yang bertanggungjawab  memajukan  perlombongan bijih timah di Sungai Ujong

Sumber Ekonomi Selangor

Raja Busu, seorang kerabat diraja Selangor bertanggungjawab membuka kawasan lombong bijih timah di Lukut. Perselisihan antara Raja Busu dengan pekerja-pekerja lombong menyebabkan
kegiatan perlombongan tergugat pada peringkat awal. Lukut muncul semula sebagai kawasan perlombongan yang penting pada 1840-an. Kemajuannya adalah kerana kecekapan Raja Jumaat yang berasal dari Riau. Beliau dilantik menjadi Ketua Jajahan Lukut pada 1846 oleh Sultan Muhammad (1826 - 1857) sebagai mengenang jasanya.
Raja Jumaat mewujudkan kestabilan dan keselamatan di Lukut. Ramai saudagar Melaka melabur dalam perlombongan di situ. Sementara itu, ramai peniaga Cina berhijrah dan membina petempatan baru. Bilangan mereka meningkat kepada lebih 20,000 orang. Lukut muncul sebagai sebuah bandar moden yang pertama di Tanah Melayu selain daripada bandar Negeri-negeri Selat. Jalan raya dan pasukan polis lengkap berpakaian seragam ditubuhkan demi menjaga keselamatan masyarakat. Lukut merosot selepas kemangkatan Raja Jumaat pada 1864.


Perlombongan Bijih Timah di Klang, Selangor

Raja Abdullah, anak saudara Raja Jumaat telah dikurniakan jajahan Klang oleh Sultan Muhammad. Beliau membuka dan memajukan lombong bijih timah di Klang menerusi bantuan Raja Jumaat dan para saudagar Melaka. Lombong bijih timah yang utama di Ampang mula mengeksport hasilnya pada 1859.
Sutan Puasa yang tinggal berhampiran dengan Ampang memujuk peniaga Cina supaya berpindah dariLukut ke Kuala Lumpur. Beliau membekalkan beras, candu, arak, ayam, daging dan sebagainya kepada pekerja lombong. Sepanjang 1850-an, Kuala Lumpur berkembang pesat. Mulai 1863, bidang perlombongan mula mendatangkan keuntungan. Pada lewat 1860-an, Yap Ah Loy menjadi Kapitan Cina yang ketiga di Kuala Lumpur.
Di Pahang, emas merupakan sumber ekonominya yang utama. Emas banyak terdapat di Ulu Tembeling. Selain emas, kegiatan perlombongan bijih timah juga dijalankan di Sungai Pahang dan Sungai Lembing. Kegiatan perlombongan di kawasan-kawasan tersebut telah bermula sejak kurun ke-15. Pada tahun 1850-an, saudagar-saudagar dari NNS telah membuka kawasan perlombongan bijih timah di Kuantan. Namun, perang saudara antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir (1857-1863) telah menggugat kegiatan perlombongan di situ.


Mengapakah British Campur Tangan

Hubungan antara negeri-negeri Melayu dengan negeri-negeri Selat sebelum campur tangan British bertumpu kepada aktiviti perdagangan sahaja. Dasar kerajaan British ketika itu ialah tidak mahu melibatkan diri dalam hal ehwal pentadbiran negeri-negeri Melayu.
Apabila Revolusi Perindustrian berkembang di Eropah, bekalan bijih timah diperlukan dengan banyaknya bagi pengeluaran barangan kilang. Pergolakan yang berlaku dalam negeri-negeri Melayu mendorong British campur tangan demi menjaga kepentingan mereka. British amat memerlukan bahan mentah iaitu bijih timah yang terdapat dengan banyaknya di negeri-negeri Melayu untuk kilang-kilang mereka di Britain.
Pada kurun ke-19, berlaku kekacauan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang kerana perang saudara, pertelingkahan di kalangan kongsi gelap Cina dan kegiatan perlanunan berleluasa. Pemerintah negeri-negeri tersebut gagal mengawal keadaan dan keadaan ini menjejaskan kegiatan perdagangan dan perlombongan. Keadaan ini membimbangkan British.
Kerajaan British akhirnya terpaksa campur tangan kerana desakan daripada para saudagar Selat dan pedagang British. Pada masa yang sama, Jerman, Perancis dan Russia turut berminat membuka pangkalan di negeri-negeri Melayu. Kuasa-kuasa ini dibimbangi British akan meluaskan pengaruh mereka di rantau ini. Kepentingan British akan terancam sekiranya kuasa-kuasa ini campur tangan.
Pada 1873, Sir Andrew Clarke dilantik menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat. Beliau diarah menyiasat kekacauan di NNS dan kemungkinan mewujudkan pentadbiran British di sana. Beliau sering bertindak sendiri tanpa menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Tanah Jajahan di London.
Sir Andrew Clarke menamatkan dasar tidak campur tangan British apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874.
Keadaan di Negeri-negeri Melayu
Sehingga pertengahan kurun ke-19, British enggan campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu. Perbalahan dan kekacauan yang berlaku di negeri-negeri Melayu telah menggugat kepentingan saudagar-saudagar British di negeri-negeri Melayu dan negeri-negeri Selat. Oleh itu mereka telah mendesak supaya British campur tangan.

 Keadaan di Perak ( Perang Larut )

Buruh-buruh Cina dibawa dari negeri-negeri Selat ke Perak untuk bekerja di lombong-lombong timah. Mereka kebanyakannya adalah ahli kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San . Kongsi gelap Ghee Hin terdiri daripada orang Kantonis yang menetap di Kelian Baru (Kamunting). Kongsi gelap Hai San pula terdiri daripada orang Hakka yang menetap di Kelian Pauh (Taiping). Ahli kedua-dua kongsi gelap ini sering terlibat dalam pertelingkahan. Masing-masing ingin menguasai lombong-lombong timah di Larut. Sebanyak 4 Perang Larut meletus di Perak. Ngah Ibrahim yang berkuasa di jajahan Larut tidak dapat mengawal keadaan huru-hara itu.
 
Perang Larut I
1861
Perang Larut II
1865
Perang Larut III
1872
Perang Larut IV
1873


Perebutan Takhta Kerajaan Perak

Perak mempunyai sistem penggantian takhta kerajaannya yang tersendiri. Mengikut sistem pewarisan takhta Perak, seseorang yang akan menjadi Sultan mestilah terlebih dahulu menjadi Raja di Hilir, Raja Bendahara dan Raja Muda. Putera sulung sultan tidak boleh terus memegang jawatan Sultan kerana perlu terlebih dahulu memegang jawatan Raja di Hilir.
Pada 1857, berlaku pertelingkahan antara waris-waris takhta kerajaan Perak. Selepas Sultan Abdullah mangkat pada 1857, Raja Jaafar ditabalkan sebagai Sultan. Raja Ali dilantik menjadi Raja Muda, Raja Ismail pula dilantik menjadi Raja Bendahara yang sepatutnya dipegang oleh Raja Yusuf.

Tuntutan takhta di Perak pada tahun 1871

Tahun
1851
1857
1865
1871
Sultan
Sultan Muhammad Syah
Raja Jaafar
Raja Ali
Raja Ismail
Raja Muda
Raja Jaafar
Raja Ali
Raja Abdullah
Raja Abdullah
Raja Bendahara
Raja Ali
Raja Ismail
Raja Ismail
*
Raja Di Hilir
Raja Yusuf
Raja Abdullah
*
*

Pada tahun 1865, apabila Raja Jaafar mangkat, Raja Ali ditabal menjadi Sultan. Raja Abdullah telah dilantik menjadi Raja Muda. Raja Ismail kekal menjadi Raja Bendahara (sepatutnya menjadi Raja Muda). Raja Yusof diketepikan sekali lagi.
Pada tahun 1871, Raja Ali mangkat, namun Raja Abdullah tidak dilantik menjadi Sultan sebaliknya Raja Ismail yang dilantik. Maka berlakulah perebutan takhta negeri Perak antara Raja Abdullah (pewaris takhta), Raja Ismail (Sultan yang dilantik) dan Raja Yusoff yang membawa kepada campur tangan British di Perak.

Campur Tangan British di Perak

Raja Abdullah menghantar sepucuk surat kepada Sir Andrew Clarke untuk mendapatkan bantuan British. Beliau berjanji akan menerima seorang Penasihat British sekiranya beliau dilantik sebagai Sultan Perak. Sir Andrew Clarke mengarahkan W.A Pickering (Pelindung Orang Cina di NNS) menjemput ketua-ketua kongsi gelap Cina menghadiri satu perjumpaan di Pulau Pangkor. Frank Swettenham pula diarahkan menjemput pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan yang sama. Perjumpaan itu diadakan di atas sebuah kapal British, iaitu Pluto pada 1874.
Sir Andrew Clarke mengadakan perbincangan dengan Raja Abdullah, Ngah Ibrahim dan ketua-ketua kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Raja Yusuf dan Sultan Ismail tidak hadir dalam perjumpaan tersebut. Satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Pangkor ditandatangani oleh semua pihak yang hadir pada 20 Januari 1874.

Antara Isi Perjanjian Pangkor

  • Raja Abdullah diiktiraf sebagai Sultan Perak.
  • Raja Ismail akan mengekalkan gelaran Raja Muda.
  • Sultan mesti menerima Residen British yang akan menasihati Sultan dalam semua hal kecuali mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu.
  • Residen, sultan dan pembesar akan diberi bayaran bulanan tetap.
  • Ngah Ibrahim kekal sebagai Menteri Larut dan menerima seorang Penolong Residen.
  • Menteri Larut hendaklah membiayai perbelanjaan penyiasatan untuk mengembalikan keamanan di Perak.
  • Hasil daripada Perjanjian Pangkor itu, keamanan di Perak pulih seperti sedia kala dan dari sinilah bermulanya sistem Residen di Perak. J.W.W. Birch dilantik menjadi Residen British yang pertama di Perak dan Kapten Speedy sebagai Penolong Residen.

Perang Klang  (1867 - 1873)

Perang Klang meletus pada 1867 ekoran tuntutan Raja Mahdi ke atas daerah Klang daripada Raja Abdullah. Raja Mahdi adalah putera Sultan Sulaiman yang pernah memerintah Klang. Pada waktu itu, Selangor diperintah oleh Sultan Abdul Samad (1857-1898). Baginda gagal menyelesaikan pergaduhan antara Raja Mahdi dan Raja Abdullah. Raja Abdullah cuba menyelesaikannya dengan membayar elaun kepada Raja Mahdi. Namun, Raja Mahdi masih tidak berpuas hati dan ingin menguasai Klang. Beliau menyerang dan merampas daerah Klang daripada Raja Abdullah.
Selepas Raja Abdullah meninggal dunia, perjuangannya diteruskan oleh puteranya Raja Ismail. Sultan Abdul Samad melantik menantunya, Tengku Kudin sebagai pendamai dan ditugaskan menamatkan Perang Klang. Namun, penglibatannya tidak disenangi oleh pembesar-pembesar Melayu. Beliau yang merupakan seorang anak raja dari Kedah dianggap orang luar yang ingin berkuasa di Selangor.
Pada 1869, beliau membantu Raja Ismail menghalau Raja Mahdi dan menawan semula daerah Klang. Perang Klang merebak ke Kuala Selangor. Pada 1871, Raja Mahdi diusir dari Kuala Selangor kerana terlibat dalam kegiatan perlanunan di sana.
Kongsi gelap Hai San yang diketuai oleh Yap Ah Loy memberi sokongan kepada Tengku Kudin dan Raja Ismail untuk menentang Raja Mahadi. Pada 1872, Raja Mahdi dengan bantuan kongsi gelap Ghee Hin dan pembesar- pembesar Melayu dapat menawan semula Selangor. Menjelang Mac 1873, Tengku Kudin berjaya menghapuskan kuasa Raja Mahdi di Selangor. Tengku Kudin dibantu oleh askar upahan dari Negeri-negeri Selat, orang Kedah dan orang Pahang.
Dengan sokongan Gabenor British, Tengku Kudin berjaya menamatkan Perang Klang pada 1873. Keadaan huru-hara di Selangor telah mengancam ketenteraman hidup penduduk serta mengganggu perlombongan bijih timah.

Campur Tangan British di Selangor

Pada November 1873, sekumpulan lanun merampas sebuah kapal berdekatan Kuala Langat. Beberapa rakyat British dibunuh. Pada Januari 1874 pula, rumah api di Tanjung Rochado diserang lanun.
Kejadian perlanunan dijadikan alasan oleh Sir Andrew Clarke untuk menempatkan seorang pegawai British di Selangor. Perlanunan juga turut mengancam perdagangan bijih timah dan pelaburan British di Selangor.
Pada Februari 1874, angkatan tentera British bersama dengan Tengku Kudin telah menyerang Kuala Langat. Semua lanun yang ditangkap telah dikenakan hukuman. Walau bagaimanapun, satu lagi serangan lanun berlaku di Kuala Langat. Frank Swettenham dihantar ke Selangor untuk menjadi penasihat tidak rasmi kepada Sultan Abdul Samad.
Beliau berjaya memujuk Sultan Abdul Samad supaya meletakkan Selangor di bawah perlindungan British. Pada Disember 1874, J.G. Davidson dilantik sebagai Residen Selangor yang pertama manakala Frank Swettenham menjadi Penolong Residen.

Keadaan di Negeri Sembilan
Pada 1870-an, Negeri Sembilan terdiri daripada beberapa buah daerah. Daerah-daerah tersebut gagal disatukan sebagai sebuah negeri akibat perebutan kuasa antara Tunku Antah dan Tunku Ahmad Tunggal. Dua daerah terpenting ialah Rembau dan Sungai Ujong. Daerah Sungai Ujong kaya dengan bijih timah.
Sungai Linggi pula penting untuk mengangkut bijih timah dari kawasan pedalaman ke kawasan pantai.Pembesar-pembesar Melayu mengenakan cukai ke atas bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Linggi. Terdapat dua pembesar berpengaruh di Sungai Ujong iaitu Dato' Kelana dan Dato' Bandar. Pergaduhan berlaku antara kedua-dua pembesar ini kerana :
·        Berebut menguasai lombong bijih timah di Sungai Ujong.
·        Bertelingkah kerana masalah hak memungut cukai di Sungai Linggi.

Dato' Bandar (Kulop Tunggal) disokong oleh rakyat tempatan dan para pelombong Cina di SungaiUjong. Dato' Kelana (Sendeng) pula dibantu oleh Sayid Abdul Rahman, iaitu Laksamana Raja Laut.
Kegiatan perlombongan bijih timah di Sungai Ujong terancam akibat pergaduhan mereka. Pada 1873, Sayid Abdul Rahman menggantikan Sendeng sebagai Dato' Kelana yang baru. Beliau cuba mendapatkan bantuan British untuk mengalahkan Dato' Bandar yang lebih berpengaruh di Sungai

Campur Tangan British di Negeri Sembilan

Andrew Clarke memutuskan untuk campur tangan di Negeri Sembilan. Tindakannya bertujuan melindungi pelaburan British dalam perlombongan bijih timah. Dato' Kelana berjanji melindungi saudagar-saudagar British di Sungai Ujong. Beliau diiktiraf oleh British sebagai pemerintah Sungai Ujung.
Kapten W.I. Tatham dilantik sebagai Penolong Residen di Sungai Ujong. Dato' Bandar telah bertindak menyerang Dato' Kelana tetapi gagal. Kekalahan ini berikutan bantuan ketenteraan British di bawah pimpinan W.A. Pickering kepada Dato' Kelana. Dato' Bandar terpaksa keluar dari Sungai Ujong dan bermastautin di Singapura.
Tunku Antah yang berkuasa di Seri Menanti tidak bersetuju dengan campur tangan British di Sungai Ujong. Perlantikan Tunku Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti disokong oleh daerah Terachi,Gunung Pasir,Ulu Muar dan Jempol. Dato' Kelana enggan mengiktiraf perlantikan Tuanku Antah sebagai Yamtuan Besar. Tuanku Antah juga enggan mengiktiraf Dato' Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong.
Tunku Antah dan Dato' Kelana. Pergaduhan berlaku antara Tunku Antah dan Dato' Kelana. Pergaduhan ini ekoran tuntutan Dato' Kelana ke atas Terachi sebagai kawasan di bawah kekuasaannya. Dengan bantuan British, Dato' Kelana berjaya mengalahkan Tunku Antah. Pada 1887, Tunku Antah memutuskan untuk menandatangani perjanjian dengan British bagi menamatkan pertempuran yang berlaku. British mengiktiraf Tunku Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti dan jajahan takluknya iaitu Johol, Terachi, Inas, Jempol, Ulu Muar dan Gunung Pasir.
Dengan ini, British dapat meluaskan pengaruhnya dengan campur tangan di Johol, Rembau dan Jelebu. Menjelang 1895, sembilan daerah di Negeri Sembilan bersatu membentuk sebuah negeri. Martin Lister dilantik menjadi Residen Negeri Sembilan yang pertama.

Keadaan di Pahang  - Perang Saudara (1857 - 1863)

Perang saudara di Pahang meletus selepas kemangkatan Bendahara Tun Ali pada 1857. Dua putera Bendahara Tun Ali berebut untuk mewarisi takhta kerajaan Pahang. Sebelum mangkat, Bendahara Tun Ali mewasiatkan pemerintahan Pahang kepada Wan Mutahir (putera Sulung).Wan Ahmad (putera bongsu) diwasiatkan daerah Endau dan Kuantan. Selepas menjadi Bendahara Pahang pada 1857, Wan Mutahir enggan menyerahkan dua daerah tersebut kepada Wan Ahmad. Wan Ahmad menyerang Pahang dengan bantuan orang Terengganu, Tok Gajah dan Dato' Bahaman. Baginda berjaya dan menjadi pemerintah Pahang pada 1863 dengan gelaran Sultan Ahmad. Perang saudara ini (1857 - 1863) menyebabkan keamanan dalam negeri terancam.

Campur Tangan British di Pahang

Perang saudara di Pahang berakhir pada 1863. Pembesar-pembesar di Ulu Pahang tidak menyokong pentadbiran Sultan Ahmad dan enggan membayar cukai. Akibatnya, Sultan Ahmad memutuskan untuk menjual kawasan-kawasan di Ulu Pahang kepada kuasa Jerman dan Perancis.
Kuasa-kuasa asing ini berminat membeli kawasan-kawasan tersebut. Tindakan Sultan Ahmad membimbangkan British. British ingin menyekat kemasukan kuasa asing lain agar pengaruh dan kepentingan ekonomi mereka di Tanah Melayu dapat dikekalkan. British mendesak Sultan Ahmad menerima seorang Residen British tetapi gagal.
Sultan Ahmad akhirnya bersedia menerima seorang Agen British setelah dipujuk oleh Sultan Abu Bakar dari Johor. Hugh Clifford dilantik sebagai Agen British dan Sultan Ahmad diiktirafkan sebagai Sultan Pahang. Hugh Clifford tidak mempunyai kuasa yang luas.
Gabenor Negeri-negeri Selat yang baru, Sir Cercil Clementi Smith ingin mewujudkan sistem Residen di Pahang bagi mengukuhkan kuasa British. Pada 1888, seorang rakyat British berbangsa Cina, Goh Hui dibunuh di perkarangan istana Sultan Pahang. Kejadian pembunuhan ini beserta ancaman dan desakan pedagang British menyebabkan Smith mendesak Sultan Pahang menerima Residen British. Pada penghujung 1888, J.P. Rodger dilantik sebagai Residen British yang pertama di Pahang.

Pengenalan Sistem Residen dalam Sistem Pentadbiran Melayu

Kekayaan sumber ekonomi di negeri-negeri Melayu merupakan satu tarikan kepada British untuk menguasai negeri-negeri tersebut secara tidak langsung. Keadaan di negeri-negeri tersebut seperti perebutan takhta, perebutan kawasan perlombongan dan pergaduhan kongsi gelap merupakan alasan untuk mereka campur tangan. Campur tangan British di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah menyebabkan Sistem Residen diperkenalkan dalam pentadbiran Melayu.
Residen berperanan untuk menasihati sultan dalam semua hal pentadbiran kecuali perkara yang berkait dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Masalah mulai timbul dalam pelaksanaannya kerana bidang kuasa seorang Residen tidak dinyatakan dengan jelas oleh Pejabat Jajahan di London. Keadaan ini menyebabkan ada di kalangan Residen telah menjalankan tugas melampaui batas.

Sistem Residen di Perak ( J.W.W. Birch )

Sultan Perak menerima J.W.W. Birch sebagai residennya yang pertama selepas Perjanjian Pangkor pada tahun 1874. Beliau telah menghapuskan amalan perhambaan dan mengambil alih hak memungut cukai daripada sultan. Tindakan Birch ini membawa penentangan daripada Sultan Abdullah dan penyokongnya di hilir Perak.
Pada 2 November1875, Birch dibunuh ketika sedang mandi di Pasir Salak. Residen J.W.W.Birch diganti oleh Sir Hugh Low. Antara pembaharuan yang dibawa ke negeri Perak ialah menubuhkan Majlis Mesyuarat Negeri Perak pada tahun1877. Selain itu, beliau menghapuskan amalan perhambaan bagi mereka yang berhutang dengan membayar ganti rugi kepada pembesar-pembesar yang terlibat. Beliau juga memajukan sektor pertanian .

Sistem Residen di Selangor

Residen Selangor yang pertama ialah J.G.Davidson. Beliau menjalankan tugas dengan baik kerana mendapat kerjasama daripada Tengku Kudin. J.G. Davidson telah menubuhkan pasukan polis dan sebuah perbendaharaan kerajaan untuk menguruskan pungutan hasil dalam negeri. Kegiatan perlombongan bijih timah juga telah dimajukan.
Residen Selangor yang kedua ialah Frank Swettenham dengan projek pembangunannya yang terkenal seperti menyusun semula sistem pungutan cukai, membina jalan raya dan juga jalan keretapi. Beliau juga menggalakkan perkembangan perusahaan bijih timah dan pertanian dagang.

Sistem Residen di Negeri Sembilan

Apabila Dato’ Kelana meminta bantuan British untuk menentang Dato’ Bandar, kerajaan British telah menghantar Kapten Tatham sebagai penolong Residen di Sungai Ujong. Pada tahun 1895, Martin Lister dilantik sebagai Residen pertama Negeri Sembilan.
 
Sistem Residen di Negeri Pahang

J.P Rodger menjadi Residen Pahang yang pertama pada tahun 1888. Pembesar-pembesar Melayu menentang Sistem Residen di Pahang kerana sistem ini menyebabkan mereka kehilangan kuasa dan keistimewaan. Satu pemberontakan yang dikenali sebagai Pemberontakan Dato’ Bahaman telah berlaku antara tahun 1891- 1895.

Mengapakah Negeri-negeri Melayu Bersekutu Ditubuhkan

Pengenalan Sistem Residen dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu tidak seperti yang diharapkan oleh sultan. Residen tidak sahaja berfungsi sebagai penasihat tetapi segala nasihat dan cadangan mereka mesti diikut oleh sultan. Oleh itu Frank Swettenham, Residen Perak ketika itu mencadangkan supaya negeri-negeri ini disatukan di bawah satu pentadbiran.
Pada tahun1896, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang disatukan menjadi negeri-negeri Melayu Bersekutu atau dikenali juga dengan Persekutuan. Kuala Lumpur dijadikan pusat pentadbiran Persekutuan. Residen Jeneral menjadi pentadbir Persekutuan.

Sebab-sebab Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu

Dengan penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, diharapkan negeri-negeri yang kurang maju seperti Pahang akan dibantu oleh negeri-negeri yang maju seperti Perak dan Selangor. Ini kerana menjelang tahun 1896, negeri Pahang mengalami masalah kewangan yang teruk kerana banyak berhutang dengan Kerajaan Negeri-negeri Selat. Terdapat perbezaan dalam sistem keadilan, cukai dan undang-undang tanah antara negeri-negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Oleh itu, keseragaman perlu diwujudkan untuk menambahkan kecekapan serta menjimatkan perbelanjaan pentadbiran. Kuasa Residen perlu dikurangkan kerana sering menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Sultan dan pembesar. Sistem pengangkutan dan perhubungan perlu dimajukan. Pejabat Tanah Jajahan pula menyokong jika pentadbiran bercorak persekutuan diwujudkan.
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini juga adalah untuk kepentingan pentadbiran dan pertahanan British kerana pasukan tentera di keempat-empat negeri itu dapat disatukan bagi memberikan kekuatan untuk menumpaskan sebarang kekacauan yang berlaku.

Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu

Frank Swettenham yang diarah untuk mendapatkan persetujuan dan tandatangan sultan-sultan Melayu berjaya mempengaruhi mereka. Pada Julai1895, Perjanjian Persekutuan ditandatangani antara keempat-empat sultan Melayu dengan British dan berkuat kuasa pada tahun 1896.
Pesuruhjaya British yang pertama mentadbir kerajaan Persekutuan ialah Charles Mitchell. Sementara Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu ialah Frank Swettenham. Jawatan Presiden di keempat-empat negeri itu dikekalkan dan mereka di bawah penguasaan Residen

Penubuhan DURBAR

Durbar ialah persidangan terhad antara Pesuruhjaya Tinggi, Raja-raja Melayu, Residen Jeneral dan Empat Orang Residen. Durbar merupakan permulaan institusi Majlis Raja-raja Melayu. Dalam Durbar diadakan perbincangan mengenai urusan pentadbiran termasuk juga mengenai agama Islam dan kepentingan orang Melayu. Durbar tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kerana hanya merupakan badan penasihat. Durbar kedua diadakan di Kuala Lumpur pada 1903, dan dalam persidangan ini raja-raja mendesak kuasa mereka dikembalikan. Durbar terbatal apabila Majlis Mesyuarat Persekutuan ditubuhkan pada tahun 1909.

Majlis Mesyuarat Persekutuan

Majlis Mesyuarat Persekutuan merupakan satu usaha untuk mengurangkan kuasa Residen Jeneral.Majlis ini ditubuhkan oleh Pesuruhjaya Tinggi John Anderson pada1909. Tujuan Majlis Mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengurangkan kuasa Residen Jeneral dan mengembalikan kuasa pentadbiran kepada Sultan. Dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan ini juga sistem perundangan dibahas dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum diluluskan.
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan ini adalah Pesuruhjaya Tinggi selaku pengerusi, Residen Jeneral, Empat orang raja Melayu, empat orang Residen dan tiga orang ahli tidak rasmi.
Mesyuarat pertama diadakan di Kuala Kangsar tahun 1909. Raja Chulan dari Perak merupakan orang Melayu pertama yang dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Walau bagaimanapun Majlis Mesyuarat Persekutuan gagal mengembalikan kuasa sultan-sultan Melayu.
Semua undang-undang yang diluluskan hanya perlu ditandatangani oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Oleh sebab itu sultan-sultan mula berundur dari Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1927.

No comments:

Post a Comment